Belanjawan 2026: Kerajaan tumpu lahir bakat berkemahiran tinggi dalam teknologi

Belanjawan 2026: Kerajaan tumpu lahir bakat berkemahiran tinggi dalam teknologi


am@hmetro.com.my

Putrajaya: Melahirkan bakat baharu berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi menjadi keutamaan kerajaan menerusi Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sektor kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor antara bidang yang menjadi tumpuan khusus bagi memenuhi keperluan mendesak industri berteknologi tinggi.

“Ini antara keutamaan kita dalam belanjawan kali ini (yang akan dibentangkan pada) bulan depan insya-Allah.

“Kita terpaksa melihat semula mengenai pencapaian dan apa yang diperlukan untuk memberi dukungan supaya dipercepatkan dengan kadar yang lebih pantas lagi (membabitkan) program latihan dan kesejahteraan yang diperlukan untuk mengangkat martabat dan keupayaan anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICOSH) 2025 di sini, hari ini.

Anwar berkata, langkah itu penting bagi menyokong pelaburan besar syarikat antarabangsa seperti Infineon Technologies yang melabur di Kulim, Kedah.

Katanya, ia sekali gus memastikan Malaysia mampu menyediakan tenaga kerja mahir yang diperlukan.

“Sebab itu saya tambah peruntukan, tidak peruntukan yang sedia ada tapi menambah untuk memenuhi keperluan. Ini antara keutamaan kita tentunya dalam belanjawan negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi kerana mempercepatkan penubuhan fakulti AI.

Katanya, ia secara tidak langsung memecahkan halangan birokrasi yang sebelum ini melambatkan kelulusan program baharu.

“Dalam kita menggapai di langit, kita harus mengakar ke bumi dan sebab itu bagi saya ada tiga cabaran yang perlu didepani iaitu pertama paradoks digital, digital divide (jurang digital) dan paling kritikal ialah isu manusiawi.

“Sebab itu kerangka pemikiran atau pola pemikiran nilai budaya ini penting kerana isu etika atau akhlak yang kita sebut nilai dan budaya serta sejarah, keyakinan agama harus diperkasakan dalam keghairahan untuk menggapai di langit (mengejar teknologi),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top