PETALING JAYA: Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri menjadi beregu lelaki Malaysia yang keempat meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong, hari ini.
Pasangan No. 46 dunia itu, mengambil masa selama 60 minit untuk menewaskan Kim Gi Jung-Kim Sa Rang dari Korea Selatan 21-11, 16-21, 21-18 di pusingan pertama.
Di peringkat 16 terbaik, esok, Hon Jian-Haikal akan turun beraksi menentang rakan senegara, Arif Junaidi-Yap Roy King.
Turut mara ke peringkat seterusnya ialah pemain perseorangan lelaki, Aidil Sholeh Ali Sadikin yang dipaksa bekerja keras sebelum beroleh kemenangan ke atas Chi Yu Jen dari Taiwan 15-21, 21-18, 21-15 dalam masa 1 jam 2 minit.
Anak kelahiran Selangor berusia 25 tahun itu akan berdepan laluan lebih sukar di pusingan kedua selepas dijadual bertemu pemain No. 10 dunia, Christo Popov dari Perancis.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa wakil perseorangan wanita Malaysia, K. Letshanaa yang tunduk kepada Zhang Wen Yu dari Kanada 22-24, 16-21 dalam masa 35 minit.
Beregu lelaki profesional negara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong turut ditunjukkan jalan keluar oleh beregu No. 16 dunia, Huang Di-Liu Yang dari China 15-21, 15-21 dalam masa 35 minit.
Nasib serupa mengiringi beregu campuran, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien yang akur di tangan pasangan No. 5 dunia, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong 21-13, 10-21, 9-21 dalam masa 48 minit.- UTUSAN