Manchester: Manchester City menyenaraikan semula Kalvin Phillips ke dalam skuad mereka bagi menghadapi pertemuan derby menentang Manchester United malam esok.
Bekas bintang England itu sebelum ini diketepikan Pep Guardiola sepanjang musim panas lalu.
Namun, Phillips kini berpeluang membuat penampilan pertama bersama City selepas 21 bulan apabila bertemu seteru utama, United.
Pemain berusia 29 tahun itu beraksi secara pinjaman bersama Ipswich musim lalu tetapi tidak berjaya mengelak penyingkiran kelab berkenaan.
Kali terakhir Phillips beraksi dalam perlawanan kompetitif bersama City ialah menentang Urawa Red Diamonds dalam Piala Dunia Kelab hampir dua tahun lalu, pada 19 Disember, apabila dimasukkan sebagai pemain gantian dan hanya beraksi selama 13 minit.
Kini, Phillips kembali berpeluang menghidupkan semula kariernya di Etihad selepas disenaraikan dalam skuad 25 pemain City untuk saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sebelum ini, Phillips dijangka meninggalkan City secara pinjaman pada musim panas lalu apabila Guardiola memberi bayangan mahu mengekalkan skuad yang lebih kecil.
Malah, pengendali Sepanyol itu juga jarang menurunkan Phillips walaupun pemain tengah berkenaan dibeli dari Leeds United pada 2022 dengan harga £45 juta (RM267.5 juta).
© New Straits Times Press (M) Bhd






