London: Hanya 29 minit diperlukan Nick Woltemade untuk membuka akaun jaringannya bersama Newcastle United sekali gus menerima sorakan penyokong selepas meledak gol sulung pada penampilan pertama menentang Wolves, awal pagi tadi.
Pemain yang mencatat rekod pembelian termahal kelab itu turut menerima penghormatan ‘standing ovation’ selepas dikeluarkan pada pertengahan babak kedua dalam kemenangan 1-0 pasukannya.
Sumbangan Woltemade hadir pada waktu tepat selepas pengurus, Eddie Howe mengesahkan rakan sepasukannya yang juga penyerang baharu, Yoane Wissa, dijangka terpaksa berehat sehingga tamat tempoh rehat antarabangsa pada Oktober.
Lebih mengejutkan, Woltemade hanya sempat menjalani beberapa sesi latihan bersama rakan sepasukan sebelum membuat penampilan sulung, namun tetap tampak serasi ketika ditolak Joelinton ke hadapan Gallowgate End untuk menerima penghormatan penyokong selepas tamat perlawanan.
“Saya baru berada di sini empat hari, jadi semuanya masih baharu buat saya. Saya ketepikan perkara itu dan fokus pada diri sendiri hari ini. Jurulatih memberikan keyakinan yang baik, jadi saya rasa selesa di atas padang.
“Saya tahu apa yang perlu dilakukan dan anda sendiri dapat lihat hari ini semua pemain tahu peranan masing-masing,” katanya.
Newcastle jelas memerlukan sentuhan penyudah selepas hanya meledak dua gol daripada 34 percubaan dalam tiga aksi pembukaan musim ini, termasuk gagal menjaringkan gol menentang Aston Villa dan Leeds United.
Isu perpindahan Alexander Isak terus menghantui kelab itu selepas penyerang Sweden berkenaan bertindak mogok sebelum melengkapkan perpindahan ke Liverpool.
Isak sebenarnya sudah hampir pasti meninggalkan kelab apabila menjalani latihan berasingan daripada rakan sepasukan, dan perlawanan Sabtu lalu menjadi aksi pertama era baharu Newcastle selepas perpindahan bernilai £125 juta (RM743 juta) ke Anfield disahkan.
Apa yang lebih ironinya, penampilan sulung Woltemade turut mengimbas kembali persamaan dengan aksi pertama Isak bersama kelab itu pada 2022.
© New Straits Times Press (M) Bhd






