Hojlund cipta impak segera bersama Napoli, penyokong dakwa United disumpah

Hojlund cipta impak segera bersama Napoli, penyokong dakwa United disumpah


Hojlund (tengah) tampil cemerlang dalam penampilan pertama bersama Napoli. Foto AFP

PENYOKONG Manchester United semakin yakin kelab kesayangan mereka ‘disumpah’ selepas bekas penyerang, Rasmus Hojlund berjaya menjaringkan gol hanya beberapa minit dalam penampilan sulungnya bersama Napoli ketika menentang Fiorentina.

Penyerang Denmark berusia 22 tahun itu melalui tempoh sukar sepanjang dua musim di Old Trafford selepas berpindah dari Atalanta.

Namun, bulan lalu Hojlund akhirnya kembali ke Serie A selepas dipinjamkan ke Napoli yang kini dibimbing Antonio Conte. Percaturan itu ternyata berhasil apabila Hojlund terus menemui sentuhan jaringan pada aksi pertamanya.

Ketika tiba di United pada 2023, Hojlund digambarkan sebagai penyerang pantas, agresif dan berpotensi menjadi watak utama di jentera serangan. Bagaimanapun, aksi kurang memuaskan yang melanda skuad The Red Devils membuatkan dia sering kelihatan terpencil serta hilang keyakinan di depan gawang.

Musim panas ini, United memberi lampu hijau untuk meminjamkan Hojlund kembali ke Itali selepas membawa masuk Benjamin Sesko dari RB Leipzig.

Dalam aksi menentang Fiorentina, Hojlund sekali lagi menampilkan kualiti yang membuatkan United sanggup melabur besar dua tahun lalu.

Beliau berjaya melepasi perangkap pertahanan hasil lorongan Leonardo Spinazzola sebelum tenang menolak bola melepasi bekas penjaga gol United, David de Gea untuk gol kedua Napoli.

Ia merupakan gol liga domestik pertamanya sejak April, meskipun sebelum ini dia turut menjaringkan gol dalam saingan Liga Europa pada Mei serta beraksi cemerlang bersama Denmark minggu lalu ketika menewaskan Greece 3-0.

Gol Hojlund itu membantu kemenangan Napoli selepas Kevin De Bruyne terlebih dahulu menyumbat gol pembukaan menerusi sepakan penalti minit keenam sebelum Sam Beukema turut mencetak nama sebagai penjaring.

Di media sosial, penyokong United rata-ratanya gembira melihat bekas penyerang mereka kembali menyinar, namun pada masa sama percaya kelab itu ‘diselubungi sumpahan’.

Seorang penyokong menulis di media sosial: “Debut gol… memang sah United kena sumpahan,” katanya.

Seorang lagi turut bersetuju dengan nada sama apabila menyifatkan United terkena sumpahan.

“Hojlund jaringkan gol pada debut? Memang kita kena sumpahan.

“Jadi sebenarnya masalahnya Manchester United sendiri?” katanya.

Ringkasan AI

  • Penyokong Manchester United yakin kelab mereka ‘disumpah’ setelah Rasmus Hojlund menjaringkan gol dalam penampilan sulung bersama Napoli
  • Hojlund gagal bersinar di Old Trafford sebelum dipinjamkan ke Napoli yang dibimbing Antonio Conte
  • Peminjaman ke Napoli membuahkan hasil positif dengan Hojlund menjaringkan gol pada aksi pertamanya
  • Di United, Hojlund ditandai sebagai penyerang berpotensi tetapi terjejas oleh prestasi pasukan
  • Penyokong United di media sosial meluahkan kegembiraan dan spekulasi jenaka tentang ‘sumpahan’ selepas melihat prestasi Hojlund



Source link

OR

Scroll to Top