Odegaard menerima rawatan selepas mengalami kecederaan berulang di bahu semasa aksi EPL menentang Nottingham Forest di Stadium Emirates.
ARSENAL mengekalkan momentum cemerlang dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Nottingham Forest 3-0 di Stadium Emirates pada Sabtu malam.
Namun, kemenangan itu tercalar dengan kecederaan yang menimpa kapten pasukan, Martin Odegaard.
Pemain antarabangsa Norway berusia 26 tahun itu terpaksa dikeluarkan selepas mengalami masalah pada bahu yang pernah membelenggunya sebelum ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan menjelang aksi penting Liga Juara-Juara (UCL) menentang Athletic Club pada Rabu.
Pengendali The Gunners, Mikel Arteta mengesahkan Odegaard sedang dipantau rapi oleh pasukan perubatan dan menegaskan belum ada keperluan untuk pembedahan.
Beliau bagaimanapun mengakui kecederaan kali ini berlaku pada bahu yang sama, menyebabkan pemain berkenaan tidak mampu meneruskan permainan.
“Dia tidak selesa untuk terus beraksi. Dia sudah bermain dua perlawanan bersama Norway sebelum ini, jadi keletihan mungkin turut menjadi faktor.
“Kami akan menilai perkembangannya dalam tempoh terdekat, namun saya yakin dia akan berusaha keras untuk kembali cergas,” kata Arteta.
Arsenal kini berharap tonggak utama mereka itu dapat pulih segera, memandangkan peranannya amat penting dalam merencana serangan The Gunners di pentas Eropah.
Ringkasan AI
- Arsenal mengekalkan momentum cemerlang dalam Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Nottingham Forest 3-0
- Kemenangan itu tercalar dengan kecederaan yang menimpa kapten pasukan, Martin Odegaard
- Odegaard mengalami masalah pada bahu yang pernah membelenggunya sebelum ini
- Mikel Arteta mengesahkan Odegaard sedang dipantau rapi oleh pasukan perubatan tanpa keperluan untuk pembedahan
- Arsenal berharap Odegaard dapat pulih segera memandangkan peranannya penting dalam merencana serangan di pentas Eropah






