Ayutthaya: Luluh hati seorang wanita apabila mengetahui mangsa kemalangan yang dibantu adalah teman lelakinya sendiri, lapor South China Morning Post.
Insiden menyayat hati itu berlaku di Lebuh Raya 347 di wilayah Ayutthaya, tengah Thailand, kira-kira jam 12 tengah malam pada 6 September lalu.
Kemalangan itu dipercayai berlaku selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi putih hilang kawalan lalu merempuh sebatang tiang elektrik menyebabkan pemandunya yang berusia 42 tahun tersepit.
Ketika pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa, wanita itu yang juga seorang jururawat baru sahaja tamat syif di Hospital Ayutthaya kebetulan melalui kawasan itu dalam perjalanan pulang.
Tanpa teragak-agak, dia memberhentikan kenderaan dan bergegas untuk membantu, namun terus menangis teresak-esak sebaik melihat wajah mangsa dan mengecamnya sebagai kekasih hatinya.
Lebih memilukan, pasangan itu difahamkan baru sahaja selesai bekerja dan meninggalkan hospital bersama-sama dengan jururawat itu memandu di belakang kenderaan teman lelakinya.
Walaupun kesedihan yang teramat sangat, saksi melihat jururawat itu tetap profesional menjalankan tugasnya dengan memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) tanpa henti.
Usahanya berterusan sehinggalah teman lelakinya dikejarkan ke hospital, namun mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Kisah duka itu yang dilaporkan oleh akhbar harian Thailand, Khaosod, mencetuskan simpati meluas dalam kalangan pengguna media sosial.
Seorang pengguna menulis: “Kebaikan anda memberi peluang untuk menemani teman lelaki anda dalam perjalanan terakhirnya. Dia masih dapat melihat anda sebelum meninggalkan dunia ini”.
© New Straits Times Press (M) Bhd






