Warga emas temui ajal ketika sedang uli kuih peneram

Warga emas temui ajal ketika sedang uli kuih peneram


am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Warga emas meninggal dunia ketika sedang menguli adunan kuih peneram atau peniaram di Dataran Pasar Payang 1, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 9.23 pagi, dengan mangsa dikenali Zulkifli Ibrahim, 60.

Katanya, dalam siasatan awal, saksi yang juga majikan mangsa memberitahu melihat mangsa sedang menguli kuih tiba-tiba tertunduk dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Dia meminta peniaga yang ada di situ untuk menghubungi talian 999, manakala rakan sekerja yang berada bersebelahan mangsa ketika kejadian memberitahu mangsa tiba-tiba diam dan tidak sedarkan diri.

“Dia kemudian mengangkat mangsa dan membaringkannya di atas lantai sebelum pembantu perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tiba di tempat kejadian dan mengesahkan kematian mangsa pada 9.23 pagi,” katanya malam tadi.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kematian tiada unsur jenayah dan tiada kecederaan fizikal pada tubuh mangsa.

Katanya, mayat dihantar ke Jabatan Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut, manakala pemeriksaan rekod kesihatan mangsa mendapati dia mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis, angin ahmar dan pernah menjalani pembedahan otak kira-kira tiga tahun lalu, selain menerima rawatan jantung pada 3 Ogos lalu.

Azli berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top