Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin berjaya mara ke pusingan kedua Masters China. Foto AFP
BEREGU lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani cemas sebelum berjaya mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters China di Arena Shenzhen pada Selasa.
Pasangan negara yang menghuni ranking ketiga dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan gandingan Indonesia, Rian Ardianto-Yeremia Rambitan dalam pertarungan tiga set.
Sze Fei-Izzuddin tewas 12-21 pada set pertama namun bangkit memperkemas permainan untuk mencatat kemenangan 21-11 di set kedua dan menoktahkan aksi dengan kemenangan tipis 22-20 pada set penentuan.
Kejayaan itu sekali gus memberikan rentak positif kepada gandingan negara itu selepas terkandas di pusingan awal dalam tiga kejohanan terakhir iaitu Terbuka China, Kejohanan Dunia dan Terbuka Hong Kong.
Mereka akan berdepan pasangan Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan di pusingan kedua, yang sebelum itu menewaskan beregu Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.
Sementara itu, satu lagi wakil negara iaitu beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan rakan senegara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien, 21-17, 21-12.
Beregu campuran ranking kelapan dunia itu akan menentang pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan pusingan seterusnya pada Khamis.
Dalam pada itu, beregu lelaki negara, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong terkandas di pusingan pertama selepas tewas kepada gandingan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen dengan keputusan 21-12, 18-21, 21-12.
Ringkasan AI
- Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin bangkit dari kalah set pertama untuk menang dalam pertarungan tiga set
- Pasangan ini mengatasi Rian Ardianto-Yeremia Rambitan dari Indonesia
- Kemenangan ini menukar nasib Sze Fei-Izzuddin selepas tiga kejohanan terakhir dengan keputusan yang kurang memuaskan
- Mereka akan berdepan pasangan Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan di pusingan kedua
- Wakil negara lain, Goh Soon Huat-Shevon Lai juga melangkah ke pusingan kedua dalam kategori beregu campuran