Bukan dipaksa tetapi ada permintaan

Bukan dipaksa tetapi ada permintaan


georgie@hmetro.com.my

Kumpulan indie rock dari Indonesia, Reality Club sentiasa dikenali dengan karya-karya mereka yang majoritinya menggunakan bahasa Inggeris.

Ia sekali gus meletakkan nama mereka di persada muzik antarabangsa, namun pada masa sama membuatkan peminat di negara asal mereka sentiasa menantikan buah tangan dalam bahasa ibunda.

Penantian itu akhirnya berakhir apabila Reality Club tampil dengan lagu bahasa Indonesia pertama mereka. Lagu berjudul Close To You/Jauh itu adalah trek istimewa dimuatkan dalam album keempat mereka berjudul Who Knows Where Life Will Take You?

Langkah ini menandakan satu fasa baharu buat kumpulan yang dianggotai Fathia Izzati, Faiz Novascotia, Nugi Wicaksono dan Era Patigo itu.

Menurut Faiz, penghasilan lagu bahasa Indonesia ini bukanlah satu keputusan terpaksa, sebaliknya lahir daripada proses kreatif yang dirasakan paling tepat pada masanya.

“Saya rasa apabila membabitkan sisi kreatif, kami sebenarnya tidak strategik. Kami tidak merancang apa-apa. Kami hanya biarkan apa sahaja yang dirasakan betul untuk berlaku dan datang dengan sendirinya.

“Ia terasa semula jadi kerana kami sudah lama, bukan dipaksa, tetapi dapat permintaan tulis lagu Indonesia. Ramai sudah lama bertanya. Malah, ada sesetengah orang tidak tahu kami ini orang Indonesia.

“Kami cuba untuk tidak membiarkan sebarang faktor luaran mempengaruhi sisi kreatif kerana kami mahu mengekalkan integriti artistik itu,” katanya. Bagi Reality Club, kejujuran dalam berkarya adalah keutamaan mereka. Setiap lagu dihasilkan perlu datang dari hati tanpa dipengaruhi permintaan luar. Prinsip demikian adalah kunci utamanya.

Tidak lain, ia bagi memastikan setiap karya mereka kekal asli dan mewakili jiwa Reality Club. Namun begitu, mereka amat menghargai sokongan padu peminat dan rakan kerja yang sentiasa bersama mereka.

Strategi pemasaran dan perancangan lain hanya akan difikirkan selepas sesebuah karya itu siap sepenuhnya, membuktikan bahawa seni sentiasa didahulukan.

“Kami hasilkan apa saja yang dirasakan semula jadi. Selepas kami menghasilkannya, barulah kami menjadi strategik, seperti fikir hala tuju lagu, corak pemasarannya. Saya rasa itu berkesan untuk peminat kami.

“Mereka boleh menghargai dan menghormatinya. Tetapi, mereka sangat lega kerana kami akhirnya mempunyai lagu Indonesia,” katanya.

Lagu Close To You/Jauh pastinya paling membawa makna besar buat Nugi. Selaku penciptanya, dia mendedahkan idea itu bermula daripada sebuah puisi ditulis Fathia, yang kemudiannya diolah olehnya.

Proses itu dia sifatkan menjadi bukti sinergi kreatif kuat antara mereka. Nugi berjaya menterjemahkan kelembutan puisi terbabit ke dalam gubahan melodi yang membuai perasaan.

“Dalam kredit, kami tulis ia dicipta oleh Fathia Izzati dan saya, Anugrah Wicaksono. Jadi, kami berdua pada dasarnya menulis lagu itu. Kisah lucunya, sebenarnya ada lirik Inggeris untuk lagu ini.

“Pendekatannya sama sekali berbeza daripada versi Indonesia ini,” katanya.

Dalam pada itu, proses penghasilan Who Knows Where Life Will Take You? juga cukup istimewa kerana proses rakamannya unik. Keseluruhan album dirakam secara langsung di sebuah studio di Bangkok, Thailand.

Proses itu adalah sesuatu yang baharu dan mencabar bagi mereka. Tidak seperti kebiasaan, mereka perlu mematuhi jadual studio yang ketat, iaitu dari jam 10 pagi hingga 5 petang saja.

Disiplin tetapan masa begitu memberikan pengalaman berbeza berbanding proses kreatif mereka sebelum ini. Walaupun awalnya dirasakan seperti satu tekanan, kekangan itu sebenarnya menjadi pemangkin penting.

Ia mendorong lagi kreativiti mereka ke tahap yang lebih tinggi. Ia ‘memaksa’ mereka untuk menjadi lebih fokus, cekap, dan profesional dalam setiap sesi rakaman.

“Apabila kami mempunyai ‘deadline’, kami rasa seperti berada dalam ‘mod steroid’ kreatif contohnya apabila masa berbaki tinggal dua jam saja lagi. Waktu persediaan hari sebelumnya juga adalah satu tahap baharu.

“Kalau di Indonesia atau mungkin tempat lain, kami mempunyai keistimewaan untuk memiliki banyak masa. Kami mungkin akan sedikit melengah-lengahkan waktu makan tengah hari atau sebagainya,” kata Era.

Pengalaman itu bukan saja mengubah cara mereka bekerja, tetapi turut membentuk semula pemikiran mereka sebagai pemuzik profesional. Menurut Faiz, kekangan masa menguji keupayaan mereka untuk menyelesaikan tugasan dengan cekap tanpa perlu menunggu ‘mood’ atau inspirasi datang dengan sendirinya.

Ia satu anjakan besar daripada tabiat lama mereka sering menghabiskan masa di studio sehingga jam 3 pagi semata-mata untuk menanti ilham. Hasilnya, kekangan masa itu membuatkan mereka lebih produktif.

Proses di Bangkok membuktikan bahawa inspirasi boleh dicipta melalui disiplin dan fokus yang jitu. Mereka lebih berdisiplin tiba di studio tepat pada waktunya, dan manfaatkan setiap minit dengan efektif.

“Kekangan masa ini sebenarnya membuatkan kami bangun lebih awal, pergi ke studio tepat pada masanya, menggunakan masa sebaik mungkin. Saya rasa ini mungkin sesuatu yang boleh difahami oleh ramai pemuzik,” kata Faiz pula.

Bagi Fathia selaku penyanyi, album itu pamer sisi dirinya yang lebih rapuh, terutamanya selepas memegang status sebagai seorang ibu. Pengalaman baharu ini banyak mempengaruhi penulisan liriknya.

Antara lagu yang paling menonjol dari segi keperibadian adalah Mama’s Coming Home. Lagu ini secara jujur menceritakan dilema dan kerinduan seorang ibu yang juga adalah pemuzik.

“Pertamanya, saya tidak begitu tahu lagu lain yang bercakap mengenai tema seorang ibu pemuzik pergi ‘tour’ dan merindui anak. Lucunya, lagu ini serupa seperti lagu rakan kami dari kumpulan Feast juga dari Indonesia.

“Lagu mereka bercerita perspektif seorang bapa terpaksa meninggalkan anaknya kerana menjayakan jelajah dan persembahan,” katanya.

Lebih menarik adalah lagu itu diterima oleh peminat yang belum bergelar ibu bapa. Ia mengingatkan mereka kepada ibu masing-masing yang juga bekerja keras demi keluarga.

Sekali gus, membuktikan bahawa karya yang lahir tulus dari pengalaman peribadi mampu merentasi latar belakang pendengar dan menyentuh emosi mereka dengan cara tidak dijangka.

“Sangat seronok bagaimana pendengar ‘membedah’ lagu-lagu kami dan mengambil apa sahaja yang terasa peribadi bagi mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top