BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bangkit penuh dramatik untuk mara ke suku akhir Masters China Super 750 selepas menundukkan gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy dalam aksi pusingan kedua di Shenzhen Arena pada Khamis.
Selepas tewas 14-21 di set pertama, juara dunia 2022 itu kembali mempamerkan ketenangan untuk mengikat lawan 21-15 sebelum menutup pertarungan sengit set penentuan 25-23 dalam tempoh sejam 12 minit.
Kemenangan itu sekali gus membolehkan Aaron-Wooi Yik menebus kekecewaan kekalahan di Terbuka Hong Kong minggu lalu apabila kini mendahului rekod pertemuan 6-3.
Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tidak berdepan masalah besar apabila mencatat kemenangan mudah ke atas pasangan Amerika Syarikat, Francesca Corbett-Jennie Gai 21-11, 21-8 hanya dalam masa 27 minit.
Gandingan pilihan kedua kejohanan itu nyata berada di kelas tersendiri dan mara ke suku akhir dengan penuh bergaya.
Namun nasib berbeza dialami gandingan muda negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting, yang terpaksa akur kepada kehebatan beregu Korea Selatan, Baek Ha-na-Lee So-hee apabila tumbang 13-21, 13-21 dalam tempoh 43 minit.
Kekalahan itu menyaksikan pasangan ranking dunia ketujuh tersebut mendahului pertemuan pertama mereka.
Turut tersingkir, pilihan kelima Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang dijinakkan wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana, 10-21, 23-21, 14-21.
Sementara itu, acara perseorangan lelaki, Leong Jun Hao memberi tentangan sengit sebelum tunduk kepada pemain nombor empat dunia dari China, Li Shi Feng.
Jun Hao berjaya memaksa set penentuan selepas merampas set kedua 21-19, namun gagal mengekang kebangkitan Li yang menamatkan perlawanan 21-11, 19-21, 21-8 dalam masa sejam tujuh minit menyaksikan rekod pertemuan kini memihak kepada Shi Feng dengan 7-1.
Sementara itu, cabaran negara dalam acara beregu campuran turut berakhir apabila pasangan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin kecundang kepada pilihan utama kejohanan dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Biarpun bermula cemerlang dengan kemenangan 21-16 pada set pembukaan, mereka gagal mengekalkan momentum sebelum menyerah 7-21, 10-21 dalam masa 58 minit menyaksikan Yan Zhe-Dong Ping kini mendahului rekod pertemuan 4-0.
Ringkasan AI
- BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bangkit penuh dramatik untuk mara ke suku akhir Masters China Super 750
- Selepas kalah di set pertama, juara dunia 2022 menang set kedua dan ketiga melawan Ben Lane-Sean Vendy
- Pearly Tan-M Thinaah mencatat kemenangan mudah ke atas pasangan Amerika Syarikat untuk mara ke suku akhir
- Gandingan muda negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting tumbang kepada beregu Korea Selatan, Baek Ha-na-Lee So-hee
- Leong Jun Hao memberi tentangan sengit sebelum kalah kepada pemain nombor empat dunia dari China, Li Shi Feng






