UiTM kekal Raja MASUM

UiTM kekal Raja MASUM


Kontinjen UiTM mengekalkan takhta Raja MASUM 2025 buat kali kelapan berturut-turut

KONTIJEN Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus gah di puncak sukan universiti negara apabila mengekalkan takhta Raja Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2025 buat kali kelapan berturut-turut sekali gus meneguhkan statusnya sebagai kuasa besar yang sukar digugat.

Kejohanan yang berlangsung dari 15 hingga 21 September di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyaksikan UiTM menutup kempen dengan kutipan pingat membanggakan 30 emas, 19 perak dan 17 gangsa.

Dengan kekuatan atlet dalam 10 acara utama iaitu taekwondo, silat, karate, memanah, bola tampar, bola tampar pantai, petanque, sofbol, catur dan boling padang, UiTM bukan sahaja membuktikan keampuhan barisan kontinjen, malah konsisten mengekalkan tradisi juara sejak lapan edisi berturut-turut.

Sorakan penuh semangat bergema di Dewan Gemilang UniSZA apabila UiTM diumumkan juara keseluruhan pada majlis penutup, mengabadikan sekali lagi legasi keunggulan universiti itu di pentas sukan universiti tanah air.

Pengarah Sukan UiTM, Ahmad Tarmizy Mohammed berkata, kejayaan bersejarah itu adalah cerminan pengorbanan atlet, tunjuk ajar jurulatih serta komitmen seluruh warga universiti.

“Lapan tahun berturut-turut bukan pencapaian biasa, ia bukti UiTM memiliki DNA juara. UiTM akan terus melahirkan bintang sukan yang mampu bersinar di pentas dunia,” katanya.

Dengan rekod 66 pingat keseluruhan, UiTM membuktikan takhta Raja MASUM bukan sekadar gelaran, sebaliknya legasi keunggulan yang terus sukar dicabar.

Ringkasan AI

  • Kontinjen Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengekalkan takhta Raja MASUM 2025 untuk kali kedelapan berturut-turut
  • UiTM menutup kempen dengan 30 emas, 19 perak dan 17 gangsa di kejohanan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
  • UiTM unggul dalam 10 acara utama termasuk taekwondo, silat, dan karate
  • Pengumuman juara keseluruhan disambut dengan sorakan di Dewan Gemilang UniSZA
  • Pengarah Sukan UiTM, Ahmad Tarmizy Mohammed, menyatakan kejayaan adalah hasil pengorbanan atlet dan komitmen universiti



Source link

OR

Scroll to Top