Kelab besar tak boleh puas dengan satu kemenangan – Amorim

Kelab besar tak boleh puas dengan satu kemenangan – Amorim


PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak terus ‘menyulitkan’ diri sendiri selepas skuad itu meredakan tekanan dengan kemenangan 2-1 ke atas Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford.

Amorim yang sebelum ini berdepan desakan pemecatan susulan permulaan musim yang buruk menerima tonik penting apabila penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez dilayangkan kad merah seawal minit kelima permainan.

Kesempatan itu dimanfaatkan United apabila Bruno Fernandes meletakkan pasukan di depan menerusi jaringan ke-100 bersama kelab itu dalam semua pertandingan yang juga hadir pada penampilan ke-200 di EPL.

Casemiro kemudiannya menggandakan kelebihan tuan rumah, namun pemain tengah Brazil itu turut menerima padah apabila dilayangkan kad merah kedua pada masa kecederaan babak pertama.

Gol lewat Trevoh Chalobah untuk Chelsea menjadikan aksi penutup penuh mendebarkan, namun United kental bertahan untuk meraih kemenangan kedua dalam enam perlawanan semua kejohanan musim ini.

Kejayaan itu membolehkan United yang sebelum ini tercicir di tangga bawahan liga, naik secara sementara ke kedudukan kesembilan sekali gus memberi sedikit ruang bernafas buat Amorim.

“Ia sangat penting. Saya rasa kami berhak menang, tetapi kami terlalu kerap menyulitkan keadaan.

“Kami bermula dengan baik, agresif, menekan lawan dan membawa penyokong bersama kami. Sudah tentu apabila penjaga gol lawan dilayangkan kad merak banyak membantu, kami kawal permainan, jaringkan dua gol. Tapi segalanya jadi rumit selepas kad merah kami pula.

“Separuh masa kedua kami kawal dengan baik, namun 15 minit terakhir agak sukar apabila mereka menjaringkan gol. Bagaimanapun, kami bertahan bersama-sama dan berjaya mengekalkan kemenangan,” katanya.

Amorim tetap berbangga dengan semangat ditampilkan barisan pemainnya yang bekerja keras mengekalkan kemenangan meskipun berdepan permulaan musim yang mengecewakan.

Pengendali dari Portugal itu turut mencabar skuad kendaliannya untuk mengakhiri rekod hambar musim lalu yang gagal mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam EPL apabila berdepan Brentford hujung minggu depan.

“Kadang-kadang kita terlalu selesa selepas satu kemenangan. Saya mahu pemain kembalikan semangat tinggi untuk raih keputusan positif.

“Hari ini kami menang, memang seronok, tapi lupakan sekejap dan kembali dengan semangat itu. Kemenangan seterusnya lebih penting.

“Kelab besar tidak boleh rasa puas hanya kerana satu kemenangan, jadi kita perlu segera buktikan lagi,” katanya.

Ringkasan AI

  • Ruben Amorim memberi amaran kepada Manchester United supaya tidak terus ‘menyulitkan’ diri sendiri selepas kemenangan 2-1 ke atas Chelsea
  • Penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez, menerima kad merah minit kelima, memudahkan United mendahului melalui jaringan Bruno Fernandes
  • Casemiro menggandakan kelebihan United tetapi turut dihantar keluar dengan kad merah selepas itu
  • Kemenangan itu naikkan United ke kedudukan kesembilan, memberi ruang bernafas kepada Amorim yang sebelum ini berdepan desakan pemecatan
  • Amorim berbangga dengan semangat pemainnya dan mencabar mereka untuk mengakhiri rekod hambar musim lalu dengan mencatat dua kemenangan berturut-turut di EPL



Source link

OR

Scroll to Top