Nilai medan terbaik karate hadapi Sukan SEA

Nilai medan terbaik karate hadapi Sukan SEA


MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan Kejohanan WKF Karate 1 – Series A Kuala Lumpur 2025 di Nilai pada 3 hingga 5 Oktober depan sebagai platform terbaik buat skuad karate negara mengutip pengalaman sebelum mengharungi cabaran Sukan SEA 2025 di Thailand.

Katanya, kejohanan bertaraf antarabangsa itu bukan sahaja menjadi medan mengasah kemahiran atlet muda, malah mampu membina keyakinan mereka menghadapi persaingan lebih besar di pentas serantau, benua mahupun dunia.

“Apabila kita bawa kejohanan bertaraf antarabangsa ke Malaysia, lebih ramai atlet berpeluang mengutip pengalaman berharga. Pendedahan itu kritikal kerana kebiasaannya apabila mereka bertanding di luar negara, rasa gementar lebih tinggi.

“Contohnya ketika Melaka menjadi tuan rumah dua tahun lalu, pengalaman yang diperoleh daripada kejohanan itu banyak membantu atlet kita menghadapi Sukan Asia Hangzhou, malah berjaya menyumbang pingat,” katanya selepas merasmikan Seminar Karate KLAS di Seri Kembangan..

Seminar dua hari itu turut menampilkan legenda karate dunia, Rafael Aghayev dari Azerbaijan, selain dihadiri Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad.

Aghayev yang juga juara dunia lima kali dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, senada dengan Hannah apabila menegaskan pendedahan berterusan di pentas antarabangsa adalah kunci utama perkembangan atlet.

“Sekurang-kurangnya setiap tiga bulan atlet Malaysia perlu bertanding di luar negara. Latihan memang penting, tetapi pertandingan memberi pengalaman sebenar. Lebih banyak kejohanan mereka sertai, lebih pantas mereka berkembang,” katanya.

Mengulas lanjut, Hannah menyatakan keyakinan terhadap kemampuan MAKAF untuk menganjurkan kejohanan kali ini dengan lancar berdasarkan kejayaan menganjurkan Kejohanan Karate Asia ke-19 pada 2023.

“Saya percaya mereka mempunyai kepakaran dan pengalaman, dan saya yakin penganjuran kali ini akan berjalan lancar,” jelasnya.

Sebagai rekod, Kejohanan WKF Karate 1 – Series A Kuala Lumpur 2025 dianjurkan bersama Persekutuan Karate Dunia (WKF) dan MAKAF, dengan penyertaan lebih 1,000 atlet elit dari seluruh dunia bagi acara Kumite dan Kata.

Pusingan Kuala Lumpur merupakan penutup siri keempat bagi musim ini selepas berlangsung di Tbilisi, Georgia (Januari), Larnaca, Cyprus (Februari) dan Salzburg, Austria (September).

Ringkasan AI

  • MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan Kejohanan WKF Karate 1 – Series A Kuala Lumpur 2025 sebagai platform untuk skuad karate negara mengutip pengalaman
  • Kejohanan ini membantu atlet mengasah kemahiran dan membina keyakinan untuk persaingan di peringkat serantau hingga dunia
  • Mengadakan kejohanan bertaraf antarabangsa di Malaysia membolehkan lebih ramai atlet berpeluang mengutip pengalaman berharga
  • Legenda karate dunia, Rafael Aghayev, menekankan pentingnya pendedahan berterusan di pentas antarabangsa untuk perkembangan atlet
  • Kejohanan WKF Karate 1 – Series A Kuala Lumpur 2025 dianjurkan bersama Persekutuan Karate Dunia (WKF) dan MAKAF, menarik penyertaan lebih 1,000 atlet elit dari seluruh dunia



Source link

OR

Scroll to Top