Pakar PBB gesa FIFA dan UEFA gantung pasukan Israel daripada kejohanan antarabangsa, susulan laporan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza. – Foto: AFP
SEKUMPULAN pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menggesa Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bola Sepak Eropah Bersatu (UEFA) menggantung penyertaan pasukan kebangsaan Israel daripada kejohanan antarabangsa, sambil menyifatkan langkah itu sebagai “tindakan perlu” terhadap genosid berterusan di wilayah Palestin yang diduduki.
Dalam kenyataan bersama, lapan pakar bebas PBB termasuk Pelapor Khas mengenai hak budaya, Alexandra Xanthaki serta Pelapor Khas mengenai keadaan hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, Francesca Albanese, merujuk kepada penemuan dalam laporan dikeluarkan pada 16 Sept oleh Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki termasuk Baitulmuqaddis Timur dan Israel.
Dalam laporan itu, suruhanjaya berkenaan merumuskan bahawa Israel melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan menggesa rejim itu segera menghentikan kekejamannya di wilayah terbabit, lapor Xinhua.
“Badan sukan tidak boleh menutup mata terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang serius, terutama apabila platform mereka digunakan untuk menormalisasikan ketidakadilan,” kata pakar-pakar itu.
Mereka menegaskan bahawa seperti dalam kes sebelum ini, pasukan kebangsaan yang mewakili negara yang dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia besar-besaran boleh dan patut digantung.
FIFA dan UEFA, terikat dengan kewajipan antarabangsa mengenai hak asasi manusia.
Pakar-pakar itu turut menekankan bahawa sebarang boikot sukan harus disasarkan kepada Israel, bukan atlet individu.
“Tidak seharusnya ada diskriminasi atau sekatan terhadap pemain individu hanya kerana asal usul atau kewarganegaraan mereka,” katanya. – Bernama
Ringkasan AI
- Pakar hak asasi manusia PBB menggesa FIFA dan UEFA menggantung penyertaan Israel daripada pertandingan antarabangsa kerana genosid di Palestin
- Laporan PBB mendakwa Israel melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza
- Badan sukan diingatkan tidak boleh mengabaikan pelanggaran hak asasi manusia yang serius
- Pasukan kebangsaan yang mewakili negara pelaku pelanggaran hak asasi manusia besar patut digantung
- Boikot sukan harus tertumpu kepada negara, bukan diskriminasi terhadap atlet individu