KESATUAN Bola Sepak Eropah (UEFA) dilaporkan mungkin membuat keputusan seawal minggu depan sama ada akan menggantung Israel daripada kejohanan anjuran mereka selepas tekanan semakin memuncak dari dalam dan luar dunia bola sepak.
Menurut laporan The Times, undian berhubung penyertaan Israel dalam kelayakan Piala Dunia serta kelab Maccabi Tel Aviv dalam Liga Europa boleh diadakan sebelum rehat antarabangsa bermula 6 Oktober oleh Jawatankuasa Eksekutif UEFA.
Bagaimanapun, UEFA menegaskan tiada mesyuarat rasmi dijadualkan minggu depan dengan mesyuarat Exco seterusnya hanya akan berlangsung pada 3 Disember.
Namun sumber dalam beberapa persekutuan bola sepak negara mendedahkan isu ini semakin mendesak dan Presiden UEFA, Aleksander Ceferin dijangka mengambil tindakan.
Tekanan bukan sahaja datang daripada dunia bola sepak, malah pihak luar juga semakin lantang bersuara. Pada Selasa lalu, sekumpulan diplomat kanan mendesak UEFA dan FIFA mengenakan larangan ke atas Israel selepas laporan Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati Israel melakukan genosid di Gaza.
Minggu lalu pula, kumpulan kempen Game Over Israel mengambil alih papan iklan di Times Square, New York menyeru pemboikotan perlawanan melibatkan Israel.
Beberapa suara dari kelab bola sepak Eropah turut dilaporkan bersuara secara tertutup. Itali antara negara yang mendapat tekanan kerana bakal menentang Israel pada 14 Oktober di Udine, selain Norway.
Itali baru sahaja melalui mogok umum 24 jam sebagai protes terhadap tindakan Israel di Gaza.
Keputusan menggantung Persatuan Bola Sepak Israel hanya memerlukan majoriti mudah daripada 19 ahli Exco UEFA. Sumber dalaman menyatakan usul ini berpotensi diluluskan dengan hanya tiga atau empat undi menentang atau berkecuali walaupun ia dijangka membawa kesan politik yang besar.
Kerajaan Amerika Syarikat sudah pun memberi amaran akan menentang sebarang tindakan itu, dengan negara tersebut menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia tahun depan.
Sebarang penggantungan juga akan melibatkan FIFA kerana kelayakan Piala Dunia dianjurkan badan induk dunia itu. FIFA di bawah Gianni Infantino sebelum ini menjalinkan hubungan erat dengan pentadbiran Trump, dan kini sedang menyiasat dakwaan beberapa perlawanan kelab Israel diadakan di penempatan haram Tebing Barat selepas aduan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA).
Presiden PFA, Jibril Rajoub, berkata beliau akan bertemu Ceferin dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Kirsty Coventry minggu depan bagi membincangkan isu tersebut.
“Saya percaya Israel tidak sepatutnya dibenarkan menyertai mana-mana perlawanan, sama ada di bawah UEFA atau FIFA. Israel melanggar prinsip, nilai dan statut FIFA. Oleh itu, Israel wajar dikenakan sekatan. Saya harap UEFA akan bertindak selari dengan semangat statut tersebut,” katanya kepada TV2 Norway.
Ringkasan AI
- UEFA mungkin gantung Israel dari kejohanan mereka atas tekanan isu di Gaza
- Undian penyertaan Israel mungkin diadakan sebelum 6 Oktober
- Tindakan UEFA dikatalan disebabkan tekanan dari dalam dan luar dunia bola sepak
- Kempen dan diplomat mendesak larangan terhadap Israel atas laporan genosid
- Keputusan penggantungan memerlukan majoriti mudah dari 19 ahli Exco UEFA