Sekatan perpindahan FIFA bersifat teknikal, bukan tidak mampu bayar pemain – Sabah FC

Sekatan perpindahan FIFA bersifat teknikal, bukan tidak mampu bayar pemain – Sabah FC


KOTA KINABALU –  Sabah FC hari ini menjelaskan bahawa sekatan perpindahan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kepada kelab itu baru-baru ini, bersifat teknikal dan telah diselesaikan sepenuhnya.

Sabah FC dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan bahawa isu berkenaan juga tidak melibatkan ketidakmampuan atau keengganan pihak pengurusan untuk membuat bayaran kepada pemain terlibat.

Sebaliknya kelab itu memaklumkan bahawa perkara itu sebahagian daripada proses akauntabiliti dan ketelusan yang diamalkan, terutamanya dalam hal yang melibatkan pengurusan kewangan.

“Isu ini melibatkan seorang bekas pemain Sabah FC yang telah menamatkan kontraknya bersama kelab. Walaupun semua bayaran gaji telah diselesaikan selepas kontrak tamat, pemain tersebut mengemukakan tuntutan tambahan.

“Hasil semakan mendapati jumlah yang dituntut sebenarnya telah dibayar ketika beliau masih bersama pasukan, namun berlaku isu teknikal dari segi kaedah dan rekod transaksi pembayaran,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan Sabah FC itu memaklumkan bahawa pemain berkenaan, kemudiannya membawa perkara tersebut kepada FIFA dan keputusan telah dikeluarkan oleh badan tersebut.

Menurut kenyataan itu, selepas menerima keputusan rasmi daripada FIFA, Sabah FC telah melaksanakan bayaran tambahan seperti yang ditetapkan dan dengan pelunasan tersebut, FIFA akan membatalkan larangan pendaftaran pemain yang dikenakan terhadap pasukan itu.- Bernama 

Ringkasan AI

  • Sabah FC menjelaskan bahawa sekatan perpindahan yang dikenakan FIFA bersifat teknikal dan telah diselesaikan sepenuhnya
  • Isu tidak melibatkan ketidakmampuan pihak pengurusan membuat bayaran kepada pemain
  • Perkara ini adalah sebahagian proses akauntabiliti dan ketelusan pengurusan kewangan
  • Isu melibatkan bekas pemain yang menuntut bayaran tambahan walaupun gaji telah dibayar penuh
  • Selepas keputusan FIFA, Sabah FC telah melunaskan bayaran tambahan sehingga larangan pendaftaran pemain dibatalkan



Source link

OR

Scroll to Top