ferzalfie@hmetro.com.my
Langkawi: Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 sekali lagi menjadi pentas istimewa buat pelumba elit dunia apabila beberapa nama besar berbasikal hadir memberi cabaran, termasuk juara perlumbaan klasik, pemenang peringkat Grand Tour serta pelumba tempatan yang kian meningkat naik.
Antara yang mencuri tumpuan pada sidang media rasmi perlumbaan edisi ke-29 hari ini ialah pelumba Itali, Matteo Malucelli, yang mengakui LTdL mengubah nasibnya dalam sukan berbasikal.
“Setahun lalu saya ke sini tanpa kontrak, tiada masa depan. Tetapi selepas menang peringkat di LTdL, saya berjaya raih 10 kemenangan musim itu (2024) dan akhirnya mendapat tempat dalam pasukan WorldTeam (XDS Astana Team). Tahun ini saya kembali dengan skuad lebih kuat, dan sasaran tetap sama, untuk menang peringkat,” katanya penyandang jersi jingga itu selaku Raja Pecut.
Sementara itu, bintang ternama dari Norway yang mewakili Uno-X Mobility, Alexander Kristoff, memilih Malaysia sebagai pentas terakhir kariernya.
“Ini kali pertama saya di Malaysia, mungkin juga kali terakhir saya berlumba. Saya hanya perlukan dua kemenangan lagi untuk melengkapkan 100 kemenangan profesional. Laluan LTdL jelas mesra pelumba pecut, jadi saya datang untuk cuba mencapainya,” ujar pemenang Milan–San Remo dan Flanders itu.
Turut kembali ialah pelumba Belanda dari pasukan Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn, yang pulih daripada kecederaan patah tulang selangka di Tour UAE.
“Saya terpaksa berehat 12 minggu, tetapi kini saya sudah kembali pada tahap terbaik. LTdL sentiasa istimewa, jadi saya sangat gembira diberi peluang kembali bersaing,” katanya yang terkenal dengan nama timangan ‘Little Gorilla’.
Sementara itu, pelumba Sepanyol, Mario Aparicio (Burgos Burpellet BH), yang muncul Raja Bukit edisi lalu, mahu cuba mengintai peluang dalam saingan juara keseluruhan (GC).
“LTdL sentiasa beri saya kenangan manis. Tahun lalu saya berjaya kuasai jersi bukit, tetapi kali ini saya mahu cuba cabar untuk kedudukan keseluruhan,” katanya.
Pelumba berpengalaman Jepun, Yukiya Arashiro, yang memulakan karier profesionalnya di LTdL 2007, pula menganggap perlumbaan ini sebagai simbol penting dalam dunia berbasikal Asia.
“LTdL adalah ‘Grand Tour Asia’. Saya masih ingat 18 tahun lalu hadir sebagai pelumba pasukan benua (Nippo Corporation), dan kini saya kembali bersama pasukan Eropah (Team Solution Tech – Vini Fantini). Malaysia sentiasa dekat di hati saya,” katanya.
LTdL 2025 bakal berlangsung esok hingga 5 Oktober membabitkan lapan peringkat sejauh 1,244.7 kilometer, bermula di Langkawi dan berakhir di Kuala Lumpur.
© New Straits Times Press (M) Bhd






