Mahathir bangkit selepas hilang penglihatan sebelah mata

Mahathir bangkit selepas hilang penglihatan sebelah mata


am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Hilang sebelah penglihatan akibat letupan mercun, tahun lalu pernah membuatkan Muhammad Mahathir Hakimi Mod Rosli kecewa dan mematahkan semangatnya untuk mengejar impian.

Namun dia tidak membiarkan dirinya hanyut lama, sebaliknya tekad memburu kejayaan dalam pelajaran mendorong pemuda berusia 21 tahun ini bangkit dan kini ditawar peluang melanjutkan pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini.

Anak tunggal dari Semenyih, Selangor itu menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa yang mendaftar bagi sesi akademik 2025/2026.

“Selepas kejadian ketika sambutan Aidilfitri tahun lalu, saya hilang keyakinan diri dan dalam masa sama turut berhenti belajar, tidak keluar bilik berbulan-bulan kerana fikirkan kekurangan diri.

“Sebelum ini saya seorang pelajar aktif dan pernah menjawat jawatan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) kampus Bachok, Kelantan (pengajian diploma). Namun segala-galanya berubah selepas kejadian itu,” katanya.

Muhammad Mahathir berkata, sokongan ibunya, Norzamira Abdul Aziz, 56, yang menjadi penggerak utama untuk dia kembali bangkit hingga mampu membuang tanggapan negatif mengenai kecacatannya.

Katanya, kata-kata semangat dan doa ibu membolehkan dia kuat untuk kembali bergelar pelajar, namun dalam masa sama perlu menjalani rawatan susulan di hospital bagi setiap dua bulan.

Sementara itu, UniSZA turut menerima tiga penuntut sarjana muda dalam kalangan komuniti Orang Asli dari Pahang dan Negeri Sembilan, antaranya Syarina Edora Abrian, 21, yang menuntut dalam bidang Pengajian Islam (Dakwah) dan Rozefaelina Harun, 21, (Teknologi Makanan).

Terdahulu, UniSZA menerima kemasukan 2,627 pelajar baharu yang menjalani Minggu Mesra Siswa (MMS) selama lima hari bermula hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top