Milan: AC Milan mengukuhkan kedudukan sebagai pencabar kejuaraan Serie A selepas mencatat kemenangan penting 2-1 ke atas Napoli awal pagi tadi, sekali gus meletakkan mereka di tangga teratas walaupun terpaksa bermain lebih setengah jam dengan hanya 10 pemain.
Christian Pulisic muncul sebagai bintang di San Siro apabila mencipta jaringan pembukaan oleh Alexis Saelemaekers pada minit ketiga, sebelum menggandakan kedudukan tuan rumah selepas setengah jam permainan.
Aksi cemerlang penyerang Amerika Syarikat itu menewaskan pasukan Napoli yang pincang akibat kecederaan, dan meletakkan Milan di tempat pertama dengan 12 mata mengatasi juara bertahan dan Roma (yang menang 2-0 ke atas Verona) berdasarkan perbezaan gol.
“Apa yang kami lakukan di padang hari ini sangat luar biasa. Ia satu persembahan benar-benar hebat,” kata Pulisic kepada DAZN.
“Pengurus melakukan kerja sangat baik untuk mengeluarkan yang terbaik daripada setiap pemain. Kami ada banyak kualiti dan kami tunjukkan itu di atas padang.”
Pulisic kini menjaringkan enam gol musim ini dalam semua pertandingan, dan sebelum menyudahkan satu gerakan hantaran cantik untuk gol kedua, dia juga menghantar satu umpanan luar biasa, seakan-akan hantaran Luka Modric yang melepaskan Youssouf Fofana berdepan penjaga gol.
Pemain berusia 27 tahun itu menerima tepukan gemuruh daripada penyokong Milan ketika digantikan oleh Davide Bartesaghi, tidak lama sebelum Kevin De Bruyne tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-60 yang menghidupkan semula harapan Napoli.
Pulisic dikeluarkan oleh jurulatih Massimiliano Allegri selepas Pervis Estupiñán dilayangkan kad merah kerana menarik Giovanni Di Lorenzo yang hampir menjaringkan gol dari jarak dekat.
Sejak itu, Milan terpaksa bertahan dan menyerap tekanan dari Napoli apabila pasukan kendalian Antonio Conte menggandakan serangan untuk cuba membawa pulang sesuatu ke selatan Itali.
Penyokong tuan rumah menahan nafas apabila rembatan David Neres yang terkena pemain pertahanan hampir menghasilkan gol penyamaan selepas bola itu terkena palang pada minit pertama masa tambahan. Namun, San Siro meledak dengan sorakan besar sebaik wisel penamat ditiupkan, menandakan kemenangan keempat berturut-turut Milan dalam saingan liga.
Napoli kini akan mengalihkan fokus mereka kepada kunjungan Sporting Lisbon dalam saingan Liga Juara-Juara selepas rekod sempurna mereka dalam Serie A musnah.
© New Straits Times Press (M) Bhd