Monaco: Penalti lewat Eric Dier membolehkan Monaco seri 2-2 dengan Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara yang menyaksikan dua jaringan Erling Haaland tidak mencukupi untuk memberikan kemenangan kepada pasukan kendalian Pep Guardiola, awal pagi tadi.
Penyerang Norway itu menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama untuk City menjadikannya 11 gol dalam lapan perlawanan di semua kejohanan musim ini manakala gol Monaco diperoleh menerusi Jordan Teze.
Juara Eropah 2023 itu seakan membawa pulang kemenangan kedua berturut-turut dalam fasa liga musim ini, namun harapan itu musnah apabila penalti minit ke-90 menyelamatkan Monaco.
Nico Gonzalez dihukum kerana mengangkat kaki terlalu tinggi terhadap Dier ketika situasi sepakan percuma Monaco. Pengadil Sepanyol Jesus Gil Manzano akhirnya memberikan penalti selepas semakan VAR yang panjang.
Dier tenang menyempurnakan sepakan penalti dengan menghantar Gianluigi Donnarumma ke arah bertentangan, sekali gus memberikan Monaco mata pertama mereka dalam Liga Juara-Juara musim ini, manakala City kini mengumpul empat mata daripada dua perlawanan selepas kemenangan ke atas Napoli sebelum ini.
“Itu satu perlawanan yang baik. Kami buat beberapa keputusan, kami cipta banyak peluang,” kata Guardiola kepada penyiar TNT Sports.
“Saya tak pasti sama ada itu penalti, tapi ia telah diberikan. Jadi, itu sajalah.
“Nico sentuh bola dahulu, tiada niat (mencederakan). Tapi beginilah keadaannya. Kami dapat satu mata dan kami terima.”
Haaland mencapai 50 gol dalam pertandingan kelab elit Eropah ketika menjaringkan gol dalam kemenangan 2-0 ke atas juara Itali dua minggu lalu, dan dua gol di Stade Louis II meletakkannya dengan 52 gol dalam 50 penampilan Liga Juara-Juara sepanjang karier.
Penyerang itu juga menjaringkan dua gol lewat Sabtu lalu ketika membelasah Burnley 5-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, dan dia membuka tirai jaringan pada minit ke-15 dalam perlawanan ini.
Josko Gvardiol melambungkan bola melepasi benteng pertahanan Monaco ke dalam kotak penalti, dan Haaland melepaskan diri dari kawalan sebelum menyambut bola itu dengan satu lambungan melepasi penjaga gol tuan rumah, Philipp Koehn.
Ini pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan sejak aksi pusingan 16 terakhir yang diingati pada 2017, yang dimenangi Monaco melalui peraturan gol di tempat lawan selepas keputusan agregat 6-6.
Pasukan Monaco ketika itu menampilkan Kylian Mbappe yang masih remaja serta Bernardo Silva, yang kini memakai lilitan kapten untuk City dalam perlawanan ini.
Pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi percubaan pertama mereka pada minit ke-18, apabila Krepin Diatta menghantar bola ke belakang kepada Teze yang mengambil satu sentuhan sebelum melepaskan rembatan kaki kanan dari jarak 20 meter terus menewaskan Donnarumma.
Monaco mempunyai Paul Pogba yang menyaksikan perlawanan dari tempat duduk penonton, ketika bekas bintang tengah Manchester United itu meneruskan usaha mendapatkan kecergasan sebelum membuat penampilan sulung sejak menyertai pasukan dalam jendela perpindahan musim panas.
Tanpa Pogba, Monaco menurunkan barisan tengah yang kurang berpengalaman dan bergelut mengekang serangan pelawat, dengan Phil Foden terkena palang sebelum City kembali mendahului seminit sebelum rehat menerusi tandukan Haaland hasil hantaran silang Nico O’Reilly.
Kelihatan seperti City akan membawa pulang tiga mata penuh, terutama selepas Tijjani Reijnders turut menggegarkan palang dalam separuh masa kedua.
Namun, penalti kontroversi pada penghujung perlawanan memberikan peluang kepada pemain antarabangsa England, Eric Dier, untuk menyelamatkan satu mata berharga buat Monaco.
“Kami kehilangan enam atau tujuh pemain utama akibat kecederaan, tetapi kami tidak pernah mengalah,” kata jurulatih Monaco, Adi Huetter.
“Pemain memberikan segalanya di atas padang. Saya sangat bangga dengan itu. Kami memang layak mendapat keputusan seri.”
© New Straits Times Press (M) Bhd






