Risiko besar bakal dihadapi tujuh pemain warisan sekiranya rayuan FAM kepada FIFA tidak berjaya.
PEMAIN warisan Harimau Malaya berdepan masa depan yang tidak menentu sekiranya rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tidak membuahkan hasil.
Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, antara risiko besar yang bakal ditanggung pemain terbabit adalah penamatan kontrak oleh kelab masing-masing selain nilai pasaran mereka akan jatuh mendadak.
“Banyak sebenarnya kesan sekiranya mereka kekal dijatuhkan hukuman oleh FIFA. Sudah tentu nilai mereka akan merosot.
“Jika hukuman asal iaitu penggantungan 12 bulan dikekalkan, prestasi permainan mereka juga akan terjejas. Lebih membimbangkan, ada kemungkinan kontrak mereka ditamatkan kelab tanpa sebarang pampasan. Kalau ada pun, ia hanya atas budi bicara pihak kelab,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, FAM bersama tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung isu pemalsuan dokumen.
FAM mengakui terdapat kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan kakitangannya dan menegaskan perkara itu dipandang serius.
Tujuh pemain warisan yang dijatuhkan hukuman iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain terbabit didenda CHF2,000 (sekitar RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Ketika ini, FAM sedang dalam fasa mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA.
Mengulas lanjut, Effendi yang juga ejen berpengalaman berharap keputusan rayuan itu akan dapat memberikan khabar gembira buat bola sepak negara.
“Saya benar-benar berharap rayuan ini positif kerana kita tidak mahu karier pemain warisan ini terganggu dan juga kelab mereka wakili dan pasukan kebangsaan.
“Mereka sedang beraksi dengan baik bersama kelab masing-masing, jadi penggantungan selama 12 bulan itu terlalu panjang dan akan memberi kesan besar kepada kerjaya mereka,” katanya.
Ringkasan AI
- PEMAIN warisan Harimau Malaya berdepan masa depan tidak menentu jika rayuan FAM kepada FIFA tidak berjaya
- Kesilapan teknikal dalam penyerahan dokumen oleh FAM menyebabkan tujuh pemain warisan dihukum
- Pemain terbabit mungkin menghadapi penamatan kontrak tanpa pampasan dan nilai pasaran mereka jatuh
- FAM dan setiap pemain warisan dikenakan denda serta digantung daripada aktiviti bola sepak selama 12 bulan
- Effendi Jagan Abdullah berharap rayuan ke FIFA akan membolehkan pemain meneruskan karier serta membantu kelab dan pasukan kebangsaan