SNCC nafi dakwaan tiada bekalan bantuan dalam kapal GSF

SNCC nafi dakwaan tiada bekalan bantuan dalam kapal GSF


lokman.khairi@hmetro.com.my

Sepang: Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) menafikan sekeras-kerasnya laporan Israel kononnya tiada bekalan bantuan dalam kapal Global Sumud Flotilla (GSF).

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, dokumentasi dan gambar sudah dikongsikan oleh peserta GSF sejak awal misi yang menunjukkan barangan perubatan dibeli dan dimasukkan ke dalam kapal di beberapa pelabuhan termasuk Barcelona, Itali, Tunisia, Greece and Malta.

“Saya nafikan apa yang mereka katakan kerana daripada awal kita juga berkongsi di dalam sosial media kita GSF dan juga di dalam sosial media Sumud Nusantara.

“Malah, yang terakhir bantuan yang dihantar oleh agensi Bulan Sabit Merah Turkiye, mereka menggunakan kapal laut tentera Turkiye dan mereka sempat untuk menambah bantuan yang ada,” katanya pada sidang media harian di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Central Warehouse, di sini, malam ini.

Terdahulu, media Israel melaporkan Polis Israel mendakwa tiada bekalan bantuan kemanusiaan ditemui dalam mana-mana daripada 40 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang dipintas ketika dalam perjalanan ke Gaza.

Menurut laporan Jerusalem Post, siasatan dan penggeledahan kapal berkenaan hanya menemui aktivis serta penumpang, namun tiada sebarang barangan bantuan seperti makanan, ubat-ubatan atau keperluan asas.

Mengulas lanjut, Sani Araby turut mengesahkan kesemua barangan perubatan kekal dalam kapal yang dipintas Israel dan jumlah keseluruhan bantuan akan dimaklumkan kemudian.

“Kita sudah menjangkakan naratif ini akan dimainkan untuk menunjukkan bahawa perjalanan Sumud Nusantara ini adalah untuk membangkitkan gelombang dunia.

“Dakwaan mereka itu juga saya kira adalah satu petunjuk yang sangat besar bahawa rejim Israel ini dalam tekanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top