am@hmetro.com.my
Butterworth: Dua lelaki ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam sebuah kereta yang terbakar dalam nahas di Jalan Pekan Darat menghala ke Sungai Lokan, Sungai Dua di sini, pagi tadi.
Bagaimanapun, identiti kedua-dua mangsa berkenaan masih belum dapat dikenal pasti pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah ketika dihubungi mengesahkan insiden terbabit dan operasi masih dijalankan pihak bomba.
“Kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbakar. Terdapat dua mangsa rentung dalam kejadian itu namun identiti mereka masih belum dapat dikenal pasti.
“Pihak bomba masih berada di lokasi untuk menjalankan operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa,” katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman video di laman sosial Facebook (FB) yang memaparkan sebuah kereta terbakar selepas terbabit dalam kemalangan.
Video kejadian berkenaan. dimuat naik dengan kapsyen ‘dilaporkan ada tiga orang di dalam kereta.’
Sehingga kini masih tiada maklumat lanjut berkenaan status mangsa yang terbabit dalam nahas itu.
Difahamkan, mayat kedua-dua mangsa akan dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd