Pasar Karat Benteng Walk tarikan terbaru Seremban

Pasar Karat Benteng Walk tarikan terbaru Seremban


am@hmetro.com.my

Seremban: Sudah lebih 20 tahun suasana malam di bandar Seremban, di sini, sepi dan suram. Namun kewujudan Pasar Karat Benteng Walk sejak Julai lalu, menyebabkan kehidupan malam di pekan ini hidup semula.

Lebih menarik apabila pasar karat menjual barang antik, pakaian terpakai serta pelbagai barangan menarik itu terletak di Lorong Seni Seremban yang mempunyai lukisan mural terpanjang di Malaysia.

Malah penjaja makanan di Benteng Walk dan peniaga di Bazaar Mains turut menerima tempias rezeki daripada kehadiran pengunjung ke pasar karat yang diadakan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad itu.

Peniaga figura anime, Mohammad Yusof Saad, 36 berkata, dia baru mencuba nasib berniaga di pasar karat berkenaan bulan lalu dan mendapati jualan sangat memuaskan.

“Pada mulanya saya bimbang juga kerana kita sedia maklum Pekan Seremban ini sunyi pada waktu malam. Namun selepas beberapa kali masuk berniaga di sini, pelanggan memang ramai.

“Suasana malam di pekan ini sudah banyak berubah sejak adanya pasar karat ini. Saya rasa konsep pasar karat di lorong seni ini pertama kali diadakan di negara ini,” katanya.

Pengunjung dari Sepang, Selangor, Shahrizal Zabil, 45, berkata, ini kali kedua dia menempuh perjalanan sejauh 30 kilometer ke pasar karat berkenaan untuk membeli barang yang diingini.

“Ada peniaga yang iklankan barang mereka di platform media sosial. Jika ada yang menarik minat, saya akan ke sini untuk melihat sendiri secara fizikal keadaan barang yang dijual.

“Barang yang dijual di sini juga menarik dan kebanyakanya adalah untuk dijadikan koleksi. Suasan lorong seni ini juga memainkan peranan untuk berjalan-jalan sambil mencuci mata.

Peniaga di barangan antik Bazaar Mains, Ridzuan Darus, 58, berkata, sebelum adanya pasar karat berkenaan, dia bersama beberapa peniaga lain lebih banyak termenung kerana kekurangan pengunjung.

“Sejak ada pasar karat ini, ramai yang datang, malah kami di Bazaar Mains dan penjaja makanan di Benteng Walk turut menerima tempiasnya.

“Malah ada yang datang ke sini dan beritahu mereka tidak tahu kewujudan beberapa kedai barangan antik di Bazaar Mains sehinggalah adanya pasar karat ini,” katanya.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang usaha untuk memeriahkan sektor pelancongan.

“Pelancong domestik juga adalah pelancong, cuma saya harap pengajur dapat menarik pelancong luar terutama dari negara di Asia Tenggara dengan mewujudkan kerjasama dengan agensi pelancongan.

“Ini bagi memastikan kehadiran pengunjung sentiasa ada, tidak berkurang. Saya dapat lihat, selepas lebih 20 tahun pekan ini, sunyi, kini ia kembali meriah pada waktu malam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top