Trump (kanan) bersama Infantino.
TINDAKAN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang enggan menggantung Israel walaupun berdepan desakan global mendedahkan wajah sebenar badan induk bola sepak dunia itu.
FIFA bukan sahaja dilihat sebagai organisasi hipokrit, malah menguatkan lagi tanggapan sesetengah pihak bahawa badan induk bola sepak dunia itu tunduk kepada tekanan politik kuasa besar.
Pada 2022, FIFA bertindak pantas apabila menggantung Rusia daripada semua kejohanan antarabangsa susulan pencerobohan negara itu ke atas Ukraine.
Tindakan tegas tersebut dipuji dunia kerana dilihat sebagai keberanian mempertahankan nilai kemanusiaan serta solidariti sejagat.
Namun, apabila menyentuh isu Palestin-Israel, pendirian FIFA berubah sama sekali.
Presiden FIFA, Gianni Infantino, sekadar mengulang retorik mengenai keamanan dan perpaduan sambil mendakwa mereka tidak boleh dijadikan medium untuk menyelesaikan konflik geopolitik.
Ironinya, alasan yang sama tidak pula diguna pakai ketika menjatuhkan hukuman keras terhadap Rusia.
Mengapa FIFA begitu berani menentang Rusia, tetapi tiba-tiba menjadi pengecut apabila berdepan Israel?
Lebih mengejutkan, campur tangan Amerika Syarikat (AS) secara terbuka turut membuktikan bahawa isu penggantungan Israel ini tidak dinilai berdasarkan prinsip keadilan, sebaliknya dipengaruhi tekanan politik.
Beberapa laporan media antarabangsa dan tempatan sebelum ini juga melaporkan amaran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan menghentikan sebarang usaha untuk melarang Israel daripada beraksi di Piala Dunia 2026.
Kenyataan itu jelas menunjukkan Washington sedia menggunakan pengaruhnya bagi memastikan sekutunya tidak digugat di pentas antarabangsa.
Kebisuan dan sikap memilih bulu ini bukan sahaja memalukan malah mengundang kecaman hebat kerana ia menggambarkan FIFA bukan lagi badan neutral yang menjaga maruah bola sepak sebaliknya alat politik yang berpihak kepada siapa yang lebih berkuasa.
Justeru, tidak salah untuk menyatakan bahawa sukan bola sepak juga tidak terlepas menjadi mangsa dalam permainan kuasa besar.
Selagi FIFA enggan bertindak adil dan konsisten, bola sepak dunia akan terus dipalit dengan imej buruk selain membuktikan FIFA pengecut, hipokrit dan tunduk kepada tekanan politik.
Ringkasan AI
- FIFA enggan menggantung Israel walaupun desakan global dan tindakan pantas terhadap Rusia dilihat hipokrit
- Presiden FIFA, Gianni Infantino, mengulangi retorik keamanan dan perpaduan dan tidak menggunakan sukan untuk menyelesaikan konflik geopolitik
- Amerika Syarikat secara terbuka mempengaruhi FIFA mengenai penggantungan Israel menunjukkan tekanan politik
- Ketidakadilan FIFA membuktikan ia menjadi alat politik yang berpihak kepada kuasa besar
- Sikap FIFA yang tidak adil dan tidak konsisten mencemarkan imej sukan bola sepak dan menunjukkan ia tunduk kepada tekanan politik