SEBELUM melelapkan mata, maafkanlah semua insan di sekeliling kita tanpa perlu menugggu mereka meminta maaf supaya hidup menjadi lapang dan tenang.
Demikian seruan Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil ketika menjadi panel dalam program Jaulah Mahabbah@Forum Maulidur Rasul & Hari Malaysia bertajuk Rasulullah sebagai teladan perpaduan bangsa dan pembinaan negara di Masjid Abd Rahman Bin Auf (MARBA), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada acara anjuran MARBA dengan kerjasama Sinar Harian dan Sinar Islam Plus itu, agamawan tersebut mengingatkan, amalan memaafkan orang lain adalah ibadah ringan yang besar ganjarannya.
USTAZ AHMAD FAUWAZ -Foto: MUHAMAD TARMIZE MOHD NOR
“Bila kita maafkan orang, hati jadi lapang dan tidur pun tenang. Insya-ALLAH, itulah jalan mudah menuju syurga.
“Kalau hendak dibandingkan dengan (bangun) tahajud, itu lebih susah, tetapi kemaafan ini ALLAH letakkan nilainya sangat tinggi. Kalau kita boleh amalkan setiap malam, insya-ALLAH hidup kita akan jadi lebih tenang dan bahagia,” katanya.
Jelas Ustaz Ahmad Fauwaz lagi, betapa besarnya nilai kemaafan itu kerana ia merupakan kunci membina perpaduan.
Rasulullah SAW mendidik umat supaya menjadikan rahmah (kasih sayang) sebagai asas kehidupan, yang akhirnya melahirkan sikap saling menyayangi, memaafkan dan bersilaturahim.
Bahkan katanya, setiap insan perlu memiliki jiwa rahmah dalam menangani kepincangan dunia, mendepani isu-isu umat Islam dan manusia serta Gaza.

SEBAHAGIAN jemaah yang hadir ke program Jaulah Mahabbah@Forum Maulidur Rasul & Hari Malaysia anjuran Masjid Abd Rahman Bin Auf, Kuala Lumpur dengan kerjasama Sinar Harian dan Sinar Islam Plus di ibu negara, baru-baru ini. -Foto: MUHAMAD TARMIZE MOHD NOR
“Kalau kita tengok sirah Nabi Muhammad SAW, rahmah Baginda kepada umatnya sangat luar biasa.
“Bahkan, ketika Baginda sakit tenat pun masih berpesan supaya umat menjaga solat dan silaturahim. Itu menunjukkan betapa rahmah merupakan asas kepada perpaduan dan kekuatan umat,” ungkapnya.
Perpecahan undang kufur nikmat
Menyambung hujah, Ustaz Ahmad Fauwaz menghuraikan mesej rahmah Rasulullah SAW yang menolak sikap bermusuhan dan mengajar supaya umat Islam mengikat kasih sayang sesama manusia.
Beliau menegaskan, perpecahan umat dianggap sebagai kufur nikmat kerana memutuskan silaturahim.

DARI kiri, pendakwah, Ustazah Nazirah Abu Bakar; Ustaz Ahmad Fauwaz dan moderator Muhd Azman Mohd Nawi ketika program Jaulah Mahabbah@Forum Maulidur Rasul & Hari Malaysia di Masjid Abd Rahman Bin Auf (MARBA), Kuala Lumpur baru-baru ini. -Foto: MUHAMAD TARMIZE MOHD NOR
Lantaran itu, agamawan itu mengingatkan umat Islam agar memelihara nikmat tersebut dan tidak mudah bertelagah, apalagi menuduh orang lain sebagai sesat atau kafir.
Jelas beliau, kekuatan umat Islam terletak pada silaturahim yang dijaga.
Apatah lagi katanya, cabaran dunia moden pula datang daripada teknologi yang sering menjarakkan masyarakat, namun ia wajar dimanfaatkan untuk dakwah.
“Jabatan Mufti sedang mengeluarkan sebuah buku kecil bertajuk Mufti di Zaman AI (Kecerdasan buatan). Kita tidak anti teknologi, tetapi perlu kawalan.
“Bahkan, teknologi salah satu juzuk daripada pembentukan sebuah negara,” ujarnya sambil menjelaskan bahawa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kini aktif menerbitkan fatwa dan artikel, malah bercadang menghidupkan semula klinik hukum supaya masyarakat mendapat rujukan sahih.
Tolong-menolong
Dalam pada itu, Ustaz Ahmad Fauwaz turut menekankan konsep ta’awun (tolong-menolong) yang menjadi penopang penting masyarakat.

MENERUSI mesej rahmah, Rasulullah SAW menolak sikap bermusuhan dan mengajar supaya umat Islam mengikat kasih sayang sesama manusia. -Foto: 123RF
Beliau menjelaskan, Islam mengajar umatnya untuk bekerjasama dalam kebaikan termasuk dengan bukan Islam.
“Hubungan asal kita dengan bukan Islam adalah kerjasama, bukan permusuhan.
“Bahkan, ayat (al-Quran) ‘Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam mengerjakan kebajikan dan ketakwaan’ diturunkan dalam konteks orang bukan Islam. Walaupun agenda itu dilaksanakan oleh orang bukan Islam, tetapi kita tolong benda baik,” ujarnya.
Jelas Mufti Wilayah Persekutuan itu lagi, keistimewaan Islam berbanding fahaman Yahudi adalah menolak semangat perkauman sempit. Bahkan, Islam menolong semua makhluk, bukan hanya bangsa sendiri.
Beliau turut menolak naratif bahawa Islam makin lemah. Data menunjukkan kutipan zakat dan wakaf semakin meningkat, sekolah tahfiz berkembang dan masjid pula semakin makmur.
“Orang Islam sebenarnya ramai yang baik, hanya segelintir keburukan diperbesarkan.
“Sebenarnya masyarakat kita masih kuat dan berkembang. Di Eropah, Perancis dan Jepun, Islam makin berkembang. Di London sahaja, umat Islam mencecah empat juta,” katanya.
Pada masa sama, Ustaz Ahmad Fauwaz mengingatkan, golongan wanita perlu dilibatkan dalam pembinaan masyarakat.
Bahkan katanya, Rasulullah SAW sendiri menyediakan pintu khas wanita di Masjid Nabawi, Madinah dikenali Bab an-Nisa’ sebagai simbol penghormatan.

RASULULLAH SAW mendidik umat supaya menjadikan rahmah atau kasih sayang sebagai asas kehidupan, yang akhirnya melahirkan sikap saling menyayangi, memaafkan dan menghubungkan silaturahim. -Foto: 123RF
“Jangan tinggalkan wanita dalam urusan agama. Mereka mesti terlibat sama dalam aktiviti masjid dan masyarakat.
“Bahkan, saya tak nampak mustahil kalau suatu hari nanti mufti juga boleh datang daripada kalangan wanita, dengan syarat ilmu dan pengurusan yang mantap,” jelas beliau.