Remaja 18 tahun buat Liverpool berputih mata

Remaja 18 tahun buat Liverpool berputih mata


PEMAIN remaja sensasi Brazil, Estevao Willian muncul wira Chelsea apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk menumpaskan Liverpool 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge.

Gol pertamanya buat The Blues itu hadir pada minit kelima masa tambahan, hasil gerakan pantas daripada hantaran silang Marc Cucurella yang disambar bijak pemain berusia 18 tahun itu bagi menewaskan penjaga gol, Georgi Mamardashvili.

Kemenangan dramatik itu turut menyaksikan juara bertahan, Liverpool terpaksa akur dengan kekalahan ketiga berturut-turut dalam semua pertandingan, sekali gus memberi tekanan kepada pengendali baharu mereka, Arne Slot.

Kejayaan berharga di laman sendiri itu melonjakkan Chelsea ke tangga keenam dengan 11 mata, manakala Liverpool kekal di tempat kedua dengan 15 mata, satu mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.

Detik jaringan kemenangan tersebut mencetuskan suasana luar biasa di Stamford Bridge apabila pengendali The Blues, Enzo Maresca meluru ke tepi padang meraikan kejayaan bersama anak buahnya sebelum diarahkan keluar padang oleh pengadil Anthony Taylor selepas menerima kad kuning kedua.

Namun pembantunya, Willy Caballero yang mengambil alih tugas sidang media selepas perlawanan mengesahkan Maresca langsung tidak menyesali tindakan itu sambil memuji kerja keras pemain.

“Beliau mahu saya memuji pemain-pemain kerana usaha luar biasa mereka malam ini. Kami mencipta banyak peluang, bermain dengan penuh keyakinan dan akhirnya bola berpihak kepada kami di saat-saat terakhir,” katanya.

Chelsea terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi rembatan kencang Moises Caicedo dari luar kotak penalti selepas pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk dan Ibrahima Konate gagal menutup ruang.

Tendangan deras pemain tengah Ecuador itu menembusi jangkauan Mamardashvili dan menerjah penjuru kanan atas gawang, antara gol tercantik minggu ini.

Liverpool kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-63 apabila Cody Gakpo menolak masuk bola hasil umpanan licik Alexander Isak selepas pasukan pelawat meningkatkan tekanan ke kubu Chelsea.

Aksi berlangsung pantas dan seimbang sepanjang perlawanan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Liverpool hampir mendahului menerusi tandukan Isak di penghujung babak pertama dan percubaan Mohamed Salah yang sedikit tersasar awal babak kedua.

Namun Chelsea yang beraksi dengan semangat luar biasa lebih berhak membawa pulang tiga mata apabila Enzo Fernandez terlebih dahulu melepaskan rembatan yang menggegar tiang pada minit ke-90 sebelum Willian memastikan kemenangan penuh dramatik di hujung permainan.

Caballero memuji watak positif Willian yang menyertai Chelsea pada Ogos lalu sambil menyifatkannya sebagai aset besar masa depan kelab.

“Dia seorang pemain muda yang ceria, merendah diri dan sentiasa tersenyum. Kami semua gembira untuknya kerana gol ini penting untuk dirinya dan juga pasukan,” katanya.

Sementara itu, Slot mengakui anak buahnya gagal memanfaatkan peluang di depan gol walaupun mendominasi sebahagian besar perlawanan.

“Kami menguasai permainan, tetapi 15 minit terakhir jadi terlalu terbuka. Kedua-dua pasukan berulang kali sampai ke kotak penalti, dan inilah detik-detik kecil yang tidak memihak kepada kami,” ujar pengendali dari Belanda itu.

 

 

Ringkasan AI

  • Estevao Willian jaring gol kemenangan Chelsea ke atas Liverpool pada masa kecederaan
  • Kemenangan Chelsea menekan pengendali Liverpool, Arne Slot akibat kekalahan ketiga berturut-turut
  • Chelsea naik ke tangga keenam liga, Liverpool kekal kedua
  • Enzo Maresca, pengendali Chelsea, menerima kad kuning kedua selepas merayakan gol kemenangan
  • Estevao Willian dipuji sebagai aset besar masa depan Chelsea



Source link

OR

Scroll to Top