Pasukan Selangor meraikan kejayaan menjuarai Piala Agong.
SELANGOR berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Agong buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur 4-3 menerusi penentuan penalti dalam aksi penuh dramatik di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Perlawanan tersebut terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit permainan.
Kuala Lumpur terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-25 menerusi jaringan Ibrahim Nyass Ilmu yang memanfaatkan peluang di depan gawang untuk meletakkan tekanan ke atas juara bertahan itu.
Namun, Selangor bangkit pada separuh masa kedua dengan memperkemaskan corak permainan dan melancarkan beberapa siri serangan berbahaya ke arah kubu lawan.
Usaha berterusan anak buah Selangor akhirnya membuahkan hasil apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-85. Irfan Raziq Rasol yang mengambil sepakan tersebut tenang menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Muhammad Firdaus Mohd Kamal untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Ketika aksi memasuki masa tambahan, Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Irfan dilayangkan kad merah pada minit ke-99.
Walaupun kekurangan seorang pemain, Selangor tetap berjuang sehingga ke akhir permainan sebelum memastikan kemenangan 4-3 menerusi penentuan penalti untuk mengekalkan kejuaraan berprestij itu buat kali ketiga berturut-turut.
Ringkasan AI
- Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Agong buat kali ketiga berturut-turut
- Perlawanan ditentukan melalui sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit
- Kuala Lumpur mendahului dengan jaringan pada minit ke-25
- Selangor menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-85 menerusi sepakan penalti
- Selangor berjuang dengan 10 pemain sebelum menang 4-3 menerusi penentuan penalti