am@hmetro.com.my
Sandakan : Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) tetap dengan pendirian untuk terus bersama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, keputusan dua rakan komponen iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada gabungan itu tidak menggugat pendirian USNO.
Bagi USNO, katanya, GRS adalah gabungan parti yang mantap dan perlu diperkukuhkan, manakala kerjasama GRS dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN17 adalah bagi memastikan kesinambungan pembangunan untuk rakyat di negeri ini.
“Apabila mengatakan bahawa orang Sabah mementingkan parti tempatan, bukan semua (mahukan). Itu adalah hujah daripada pemimpin seperti sahabat saya, Datuk Seri Yong Teck Lee (Presiden SAPP) dan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (Presiden STAR).
“Dalam politik ini, kita demokrasi. Masing-masing dengan pendirian. Bagi USNO, apa pun terjadi, saya (USNO) akan bersama-sama dengan GRS,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Malam Kepedulian Bahagian Sekong di Dewan Hakka, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Naib Presiden I USNO, Puan Sri Diana Yusuf Diego.
Mengulas lanjut tindakan STAR dan SAPP meninggalkan GRS, Pandikar Amin berkata, Jeffrey menyatakan hasrat untuk menggunakan logo parti sendiri ketika mesyuarat bersama semua presiden parti komponen minggu lalu kerana berpendapat parti yang bekerjasama dengan parti Malaya adalah pengkhianat.
Pandikar Amin yang juga Timbalan Pengerusi GRS berkata, GRS sebaliknya berpendapat Sabah masih memerlukan sokongan daripada kerajaan Persekutuan selepas PRN terutama daripada segi peruntukan untuk meneruskan pembangunan di negeri ini.
Beliau memberi contoh projek Lebuh Raya Pan Borneo hasil inisiatif bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menelan kos ratusan juta dengan peruntukan disalurkan Kerajaan Pusat.
“Jika sekiranya kita ikut retorik politik, bergabung semua parti tempatan, bertanding 73 kerusi, kita menang 73 kerusi dalam pilihan raya sekarang tetapi Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi Perdana Menteri, Menteri Kewangan.
“Jadi macam mana kita siapkan Pan Borneo? Bagaimana peruntukan untuk air? Itu berpuluh juta, beratus juta.
“Pan Borneo belum selesai. Yang beri Pan Borneo itu siapa? Pemimpin daripada Malaya. Jadi rakyat di Sabah jangan terperangkap dengan retorik politik, pemimpin yang cuma memuaskan perasaan diri sendiri,” katanya.
Mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi USNO, Pandikar Amin berkata, terpulang kepada pucuk pimpinan GRS untuk menentukan jumlah yang ditandingi parti itu.
Bagaimanapun, katanya, parti itu berhasrat untuk meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong kerana yakin mampu menawan kerusi itu daripada pembangkang.
© New Straits Times Press (M) Bhd