yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Rang Undang-undang Sewa Beli (Pindaan) 2025, bertujuan memperuntukkan penyelesaian lebih adil kepada pengguna, dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali ketika membentangkan RUU itu berkata, bacaan kali kedua dan ketiga akan dibuat pada persidangan kali ini.
RUU berkenaan dijangka menyediakan penyelesaian lebih adil kepada pengguna melalui perjanjian sewa beli, terutama penggantian kaedah sedia ada bagi pengiraan caj terma.
Pindaan lain termasuk menyelaraskan had maksimum caj terma berhubung perjanjian sewa beli menggunakan kadar tetap atau kadar boleh ubah, membolehkan penggunaan teknologi baharu bagi memeteraikan perjanjian sewa beli, selain mengemas kini terma lapuk supaya selari standard kawal selia semasa dan perkembangan teknologi.
Fasal 7 bertujuan meminda Seksyen 5 Akta Sewa Beli 1967 (Akta 212) untuk memasukkan subseksyen baharu (1b) dan (1c) bagi mengenakan kewajipan ke atas tuan punya berhubung penyampaian perjanjian sewa beli melalui cara elektronik.
Fasal 9 pula bertujuan meminda seksyen 6b Akta 212 berbangkit daripada penerimagunaan kaedah baharu bagi pengiraan caj terma.
Ia selanjutnya bertujuan mengadakan peruntukan tempoh masa bagi tuan punya untuk memberitahu penyewa berkenaan dengan perubahan kepada kewajipan kewangan penyewa berikutan apa-apa penyemakan kepada kadar faedah efektif.
Fasal itu juga bertujuan menjadikan ia suatu kesalahan jika tuan punya gagal mematuhi kehendak pemberitahuan atas alasan kepentingan bagi memastikan penyewa sudah diberitahu mengenai perubahan kepada kewajipan kewangan penyewa itu.
RUU berkenaan antara lain tidak membabitkan perbelanjaan wang tambahan ke atas kerajaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd