Elly Arifin gembira kembali ke dunia radio

Elly Arifin gembira kembali ke dunia radio


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Elly Arifin meluahkan rasa gembira penuh kesyukuran kerana kini bergelar penyampai tetap di stesen radio Suria FM bermula hari ini.

Elly atau nama sebenarnya Nurul Elyana Kamalul Arifin, 35, bergandingan bersama pelawak Ajak Shiro dan Fad Bocey dalam segmen Morning Morning Suria setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi hingga 10 pagi.

“Saya mula ditawarkan sebagai penyampai jemputan pada Julai lalu dan menerima lamaran pihak stesen radio pada hujung Ogos lalu.

“Hari ini, baru saya boleh buat pengumuman rasmi memandangkan kita masih memberi laluan dan penghormatan kepada berita tentang Global Sumud Flotilla (GSF).

“Berkenaan kontrak dengan pihak stesen, ia agak peribadi untuk saya kongsikan,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai kerjaya penyampai radio, kata Elly, dia sudah pasti sangat gembira ibarat ‘sirih pulang ke gagang’ selepas berkecimpung dalam dunia penyiaran radio pada 2013.

“Saya berasa teruja, tetapi sedikit gementar kerana sudah lama tidak berkecimpung dalam bidang ini. Saya banyak buat ‘research’ (kajian) tentang Suria FM berkenaan ‘direction’ dan cara penyampaian seseorang penyampai.

“Untungnya, saya ada ramai rakan seperjuangan di Suria FM yang banyak beri nasihat dan tunjuk ajar dalam memperbaiki setiap kelemahan yang berlaku dari semasa ke semasa,” katanya,

Ditanya gandingan dengan Ajak dan Fad pula, kata Elly, mereka sangat membantunya dalam mencari keserasian itu.

“Saya tidak risau apabila digandingkan dengan mereka, malah lebih bersyukur kerana baru sekali ‘on air’, sudah boleh dapat keserasian itu memandangkan kami sudah kenal lama, jadi ia memudahkan proses terbabit.

“Alhamdulillah tidak ada rasa kekok, lebih kepada bagaimana nak memantapkan lagi info yang diterima,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top