Raja Muda Perlis bersama rakyat dalam Sukan Bendang di Pauh

Raja Muda Perlis bersama rakyat dalam Sukan Bendang di Pauh


ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Sukan Bendang 2025 yang berlangsung di Kampung Alor Setar, Pauh, di sini, semalam.

Keberangkatan baginda disambut oleh Pengerusi Mimbar Permaufakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Negeri Perlis, Rozieana Ahmad.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian serta berangkat melawat reruai pameran yang disertai pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Sukan bendang merupakan acara tradisi yang dianjurkan pada setiap tahun khususnya selepas musim menuai padi ini.

Selain itu, aktiviti ini turut menjadi wadah penting dalam mengukuhkan semangat perpaduan, saling hormat-menghormati serta kerjasama dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, lebih 2,000 peserta terdiri daripada penduduk tempatan dan pelajar institusi pengajian tinggi telah turut sama memeriahkan Sukan Bendang 2025.

Program berkenaan dianjurkan oleh MAPIM Negeri Perlis dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) negeri serta beberapa rakan strategik lain.

Pelaksanaan program itu juga dapat dijadikan sebagai tarikan menarik bersempena dengan penganjuran Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026.

Antara acara menarik lain yang dipertandingkan sepanjang program berkenaan adalah seperti kayuh gerek (basikal) atas titi, lumba lari dalam bendang, serkap ikan, meniti papan licin dan tarik upih.

Selain itu, turut dianjurkan aktiviti sorong kawan atas titi, tarik tali dalam bendang serta pertandingan bola tampar dan bola jaring.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top