Beijing: Seorang lelaki dari China berjaya mengharungi cabaran hidup di hutan selama 70 hari dan memenangi 100,000 yuan (kira-kira RM60,000) dengan memakan tikus serta serangga yang ditangkap menggunakan perangkap buatan sendiri, lapor South China Morning Post.
Cabaran Qixing Mountain Cup yang berlangsung di Zhangjiajie, wilayah Hunan pada Julai lalu itu disertai 100 peserta yang hanya dibekalkan sebilah pisau dan sebatang buluh untuk bertahan hidup tanpa sebarang bekalan luaran.
10 peserta akhir menerima 200 gram garam dan mangkuk keluli tahan karat ketika mereka bersaing merebut hadiah utama 100,000 yuan (kira-kira RM60,000) manakala setiap peserta yang berjaya bertahan selama 30 hari memperoleh 6,666 yuan (kira-kira RM4,000).
Pada 22 September lalu, Yang Dongdong, 33, diumumkan sebagai juara selepas berjaya melepasi tempoh 70 hari di dalam hutan.
Sebaik memasuki hutan, Yang membina sebuah tempat perlindungan di atas bukit menggunakan rumput kering, pokok menjalar dan buluh selain memintal benang pakaiannya untuk dijadikan tali.
Dia juga menganyam bakul untuk menangkap ikan dan ketam serta memasang perangkap mudah untuk memerangkap tikus dan serangga sebagai sumber protein.
Walaupun beberapa kali muntah akibat memakan tumbuhan asing, Yang berkata, dia perlu memastikan mendapat keseimbangan protein dan vitamin untuk terus hidup.
Selain itu, dia berdepan cabaran suhu sejuk yang jatuh di bawah 10 darjah Celsius pada waktu malam, hujan lebat dan ancaman haiwan berbisa seperti ular.
Ketika kemenangannya diumumkan, Yang yang sedang duduk di tepi unggun api, menjerit kegembiraan: “Saya berjaya harunginya!”
Menurut laporan media, Yang kehilangan lebih 15 kilogram (kg) berat badan, namun pemeriksaan kesihatan mengesahkan semua penunjuk fizikalnya adalah normal.
Yang yang bekerja sebagai penternak lebah mewarisi minat terhadap alam semula jadi daripada datuknya yang sering membawanya berburu ketika zaman kanak-kanak.
“Dia (datuk) mengajar saya cara menganyam bakul dan memasang perangkap,” kata Yang yang merancang untuk berkongsi ilmunya di media sosial.
Kejayaannya itu menerima pujian dalam talian dengan seorang pengguna media sosial menyifatkannya sebagai ‘pengembara serba boleh’ yang menakluki alam semula jadi dengan rasa hormat.
© New Straits Times Press (M) Bhd