PENGENDALI Negeri Sembilan FC, Mohd Nidzam Jamil mengakui kelemahan aspek mental dan tumpuan menjadi punca utama kekalahan 1-2 skuad Hobin Jang Hobin kepada Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Menurutnya, skuad Rusa bermula baik pada awal permainan namun gagal mengekalkan momentum selepas dibolosi, sekali gus memberi ruang kepada pasukan tuan rumah untuk menguasai perlawanan.
“Banyak perkara perlu kami perbetulkan selepas perlawanan ini. Kami bermula agak baik, terutama pada 10 minit pertama yang menunjukkan potensi positif.
“Namun selepas Penang menjaringkan gol, segalanya berubah. Mungkin pemain panik atau tidak cukup bersedia. Bagi saya, ia lebih kepada masalah mentaliti,” katanya selepas perlawanan.
Nidzam turut memuji persembahan Penang yang dianggap tampil lebih tersusun dan berdisiplin.
“Saya juga harus beri kredit kepada Penang kerana mereka beraksi dengan baik petang ini,” ujarnya.
Dalam perlawanan itu, Tchetche Kipre muncul wira Harimau Kumbang selepas meledak dua gol pada minit ke-13 dan ke-49, manakala gol tunggal Negeri Sembilan hadir menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan Penang, Faith Obilor, pada masa kecederaan (m-96).
Mengulas mengenai persembahan di babak kedua, Nidzam berkata pasukannya cuba bangkit, namun dikejutkan dengan jaringan kedua lawan sebaik permainan bersambung.
“Kami memang ada perancangan untuk separuh masa kedua, tetapi seawal babak itu kami dibolosi lagi dan ia ubah keseluruhan rentak permainan.
“Selepas itu, Penang banyak menyerang melalui serangan balas yang berbahaya. Kami sepatutnya mampu sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri, namun ada beberapa aspek perlu diperbaiki termasuk perkara yang sepatutnya berada dalam kawalan kami,” katanya.
Dalam masa sama, Nidzam mengakui prestasi Negeri Sembilan di gelanggang lawan masih belum berada pada tahap memuaskan berbanding ketika beraksi di laman sendiri.
“Seperti pasukan lain, kita memang tidak mahu tewas di tempat sendiri. Tetapi bermain di tempat lawan memang sukar. Kami sudah cuba sedaya upaya.
“Kami tewas kepada JDT, Penang dan dalam saingan Piala FA di Selayang. Sudah tentu kami mahu lebih baik di perlawanan luar,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau tetap menganggap perjalanan pasukan musim ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding musim lalu.
“Kalau dilihat kedudukan semasa, kami berada di tangga kelima dengan lapan mata selepas enam perlawanan. Musim lalu, kami perlukan 12 atau 13 perlawanan untuk capai jumlah mata yang sama.
“Jadi, dari segi kemajuan pasukan, saya anggap ini satu langkah ke hadapan. Cuma jangkaan penyokong kini semakin tinggi dan kami perlu bekerja lebih keras untuk mengekalkan momentum,” katanya.
Ringkasan AI
- Pengendali Negeri Sembilan FC, Mohd Nidzam Jamil mengakui kelemahan aspek mental dan tumpuan menjadi punca utama kekalahan kepada Penang FC
- Skuad Rusa gagal mengekalkan momentum selepas gol pertama Penang, memberi ruang kepada tuan rumah menguasai perlawanan
- Nidzam memuji persembahan Penang yang tampil lebih tersusun dan berdisiplin
- Prestasi Negeri Sembilan di gelanggang lawan belum memuaskan berbanding di laman sendiri
- Nidzam menganggap prestasi pasukan musim ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding musim lalu





