Gergasi Merah kekal berdaulat

Gergasi Merah kekal berdaulat


PENGENDALI Selangor, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah, memuji semangat juang luar biasa anak buahnya yang kekal berdisiplin dan tenang meskipun beraksi dengan 10 pemain hampir 20 minit terakhir sebelum menewaskan Kuala Lumpur 4-3 menerusi penentuan penalti dalam aksi pembuka tirai Piala Emas Raja-Raja edisi ke-103 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.

Menurutnya, kekuatan mental dan kepercayaan terhadap perancangan taktikal menjadi kunci utama kejayaan Selangor mengekalkan kejuaraan Piala Agong buat kali ketiga berturut-turut.

“Dalam situasi bertekanan tinggi, kunci utama ketahanan mental dan disiplin taktikal pemain ialah semangat berpasukan yang kuat serta kepercayaan terhadap strategi yang dirancang.

“Latihan intensif yang menekankan simulasi situasi kritikal banyak membantu membina keyakinan diri pemain.

“Selain itu, komunikasi yang berkesan antara pemain dan jurulatih memastikan semua orang kekal fokus dan tenang,” katanya selepas perlawanan.

Dalam perlawanan penuh dramatik itu, Kuala Lumpur terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ibrahim Nyass Ilmu pada minit ke-25 sebelum Selangor menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Irfan Raziq Rasol pada minit ke-85.

Bagaimanapun, Irfan dilayangkan kad merah pada minit ke-99, memaksa Selangor beraksi dengan 10 pemain hingga tamat masa tambahan sebelum mengesahkan kemenangan di penentuan penalti.

Mengulas rahsia di sebalik konsistensi skuad Gergasi Merah menjuarai kejohanan itu tiga musim berturut-turut, Nurfaizal menegaskan perubahan falsafah dan pembangunan pemain muda menjadi tunjang utama kekuatan pasukan.

“Perubahan paling ketara ialah penekanan terhadap pembangunan pemain muda dan kesediaan mereka untuk diserap ke pasukan utama.

“Falsafah permainan yang mengutamakan penguasaan bola serta serangan pantas juga banyak membantu. Dari segi latihan, kami mengambil pendekatan holistik merangkumi aspek fizikal, mental dan emosi supaya pemain lebih bersedia menghadapi tekanan,” jelasnya.

Dengan jadual padat menanti dalam Kumpulan D menentang Terengganu dan Kelantan, Nurfaizal menegaskan penggiliran pemain serta pemulihan fizikal akan dirancang secara berhati-hati agar momentum kemenangan tidak terjejas.

“Penggiliran pemain perlu berpandukan analisis prestasi dan tahap kecergasan individu. Pemain yang kurang minit permainan akan diberi peluang membuktikan kemampuan.

“Dari segi pemulihan, kami pastikan rehat mencukupi, nutrisi betul dan rawatan fisioterapi berkala. Teknik relaksasi dan visualisasi turut diterapkan bagi membantu pemain mengatasi tekanan mental dan emosi,” katanya.

Ringkasan AI

  • PENGENDALI Selangor memuji semangat juang anak buahnya yang kekal tenang walaupun bermain 10 pemain sebelum menewaskan Kuala Lumpur 4-3 dalam penentuan penalti
  • Kekuatan mental dan kepercayaan terhadap taktikal menjadi kunci kejayaan Selangor
  • Latihan intensif dan simulasi situasi kritikal membina keyakinan pemain
  • Pembangunan pemain muda dan falsafah permainan yang mengutamakan penguasaan bola penting dalam strategi Selangor
  • Penggiliran pemain dan pemulihan fizikal dirancang untuk memastikan momentum kemenangan Selangor tidak terjejas



Source link

OR

Scroll to Top