MILAN: Rasmus Hojlund muncul wira Napoli apabila meledak gol kemenangan ketika menewaskan Genoa 2-1 di Stadium Diego Armando Maradona, semalam.
Keputusan berkenaan meletakkan juara bertahan itu di tangga teratas Serie A selepas pencabar terdekat, AC Milan sekadar seri tanpa jaringan menentang Juventus.
Penyerang Denmark yang turut meledak dua gol menentang Sporting Lisbon dalam aksi Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu itu, menyambar peluang pada minit ke-75 selepas rembatan Andre-Frank Anguissa ditepis penjaga gol Nicola Leali.
Hojlund kini sudah menjaringkan empat gol sejak berpindah dari Manchester United, sekali gus membuktikan dia mempunyai sentuhan penyudah yang baik.
“Tugas saya ialah menjaringkan gol dan membantu pasukan menang sebanyak mungkin. Sekarang kami hanya perlu terus bekerja keras dan fokus pada perlawanan seterusnya,” kata Hojlund.
Menurut Hojlund, pengendali Antonio Conte hampir mengeluarkannya sebelum jaringan kemenangan itu, namun dia memilih untuk terus bermain.
“Dia (Conte) tanya sama ada saya mahu rehat, tapi saya beritahu masih bertenaga dan mahu terus bermain,” katanya.
Sebelum itu, Jeff Ekhator meletakkan Genoa di depan pada minit ke-33 dengan jaringan menarik menggunakan tumit, sebelum Anguissa menyamakan kedudukan pada minit ke-57 hasil tandukan jarak dekat.
Sementara itu, di Turin, Christian Pulisic gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Milan seri 0-0 dengan Juventus.
Pulisic mempunyai peluang keemasan apabila Santiago Gimenez dijatuhkan Lloyd Kelly tujuh minit selepas rehat, tetapi percubaannya melambung tinggi, sekali gus menamatkan rentetan lima kemenangan berturut-turut Milan.
Rafael Leao turut mensia-siakan peluang dalam masa kecederaan selepas menerima hantaran Luka Modric, membolehkan Napoli mengekalkan kedudukan di tangga teratas menjelang rehat antarabangsa.- AGENSI