Muhyiddin gagal gugurkan tujuh tuduhan salah guna kedudukan dan AMLA

Muhyiddin gagal gugurkan tujuh tuduhan salah guna kedudukan dan AMLA


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal untuk menggugurkan empat tuduhan salah guna kedudukan membabitkan suapan berjumlah RM232.5 juta dan tiga kes pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM200 juta.

Sehubungan itu, kes berprofil tinggi yang dihadapi Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri akan diteruskan dengan perbicaraan, yang mana pihak pendakwaan akan memanggil 30 saksi untuk memberikan keterangan.

Ia susulan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dihantar pasukan peguam Ahli Parlimen Pagoh yang diketuai peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik itu untuk menggugurkan kesemua tujuh tuduhan berkenaan pada 19 Ogos lalu.

Pada sebutan kes itu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu Mahkamah Tinggi, AGC menolak representasi itu pada 22 Ogos lalu.

Sementara itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad memaklumkan bahawa pembelaan sudah menerima senarai saksi, bagaimanapun memerlukan pernyataan saksi bagi menyediakan pembelaan.

Wan Shaharudin kemudian berkata, pendakwaan memerlukan tarikh perbicaraan untuk menghimpunkan semua dokumen bagi diserahkan kepada peguam bela.

Hakim K Muniandy kemudian menetapkan 10 November ini bagi sebutan kes sebelum mahkamah memutuskan tarikh perbicaraan.

Seperti pada prosiding hari ini, kehadiran Muhyiddin turut dikecualikan pada tarikh sebutan nanti.

Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi membatalkan empat tuduhan terhadap Muhyiddin atas alasan ia kabur dan tidak berasas, bagaimanapun pada 28 Februari lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan ia dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Pada 4 April lalu, Muhyiddin memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas alasan ia membabitkan isu undang-undang yang kompleks dan berkepentingan awam.

Permohonan itu turut menyatakan bahawa perbicaraan di Mahkamah Tinggi adalah lebih sesuai dan tidak memudaratkan mana-mana pihak.

Empat daripada tuduhan terhadap Muhyiddin membabitkan dakwaan menyalahgunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Presiden BERSATU untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat.

Tiga lagi pertuduhan membabitkan penerimaan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun parti.

Pada 16 Jun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Muhyiddin untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top