PENGENDALI Kelantan Red Warriors (KRW FC), Irfan Bakti Abu Salim menegaskan tiada keperluan untuk pasukannya menekan butang panik selepas gagal meraih kemenangan dalam enam perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga A1 Semi-Pro setakat ini.
Beliau berkata, masih banyak perlawanan yang perlu diharungi dan beliau optimis KRW FC akan bangkit pada aksi berikutnya.
“Saya tahu, kita masih ada 24 perlawanan lagi. Jadi, saya tidak kisah mengenai kedudukan pasukan di liga. Keyakinan masih ada untuk KRW FC bangkit.
“Kita (KRW FC) boleh bermain dengan baik, cuma penyudah masih kurang menjadi. Saya beritahu pemain, kita tidak boleh terus seri dan kalah, terutama apabila memasuki pusingan kedua nanti,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan KRW FC menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada Isnin malam.
Menurut beliau, ketika berdepan JDT II pasukannya mendominasi permainan namun gagal memanfaatkan peluang di hadapan gol.
“KRW FC bermain dengan baik tetapi ketumpulan penyudah menafikan kemenangan,” katanya.
Irfan Bakti turut memaklumkan bahawa beliau menunggu jendela perpindahan pemain kedua yang dibuka pada Disember nanti untuk membawa masuk penyerang baharu bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan.
Dalam perlawanan tersebut, KRW FC terus kempunan meraih kemenangan sulung selepas terikat 0–0 menentang JDT II dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Sultan Muhammad IV pada Isnin.