sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Inisiatif pengecualian cukai dalam sektor sukan khususnya penajaan dari syarikat-syarikat swasta dilihat masih belum cukup dan ia perlu ditambah baik bagi memastikan misi meletakkan Malaysia antara kuasa sukan terkuat dunia tercapai.
Bukan untuk menidakkan usaha kerajaan yang sudah menyediakan pelbagai jenis insentif terhadap sukan sama ada pengecualian cukai secara individu mahupun terhadap penggunaan fasiliti sukan, namun ia masih tidak memberi kelebihan buat syarikat swasta untuk sama-sama membantu dan merancakkan industri sukan.
Berdasarkan tinjauan Harian Metro, polisi kerajaan yang memberi 10 peratus potongan cukai atau kurang daripada jumlah itu kepada syarikat korporat nyata menyukarkan industri sukan tempatan untuk berkembang ketika Malaysia sebenarnya memiliki bakat hebat di arena sukan.
Selepas 68 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, kita masih belum mampu memenangi pingat emas di Sukan Olimpik ketika negara serantau lain seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina gah memenangi pingat emas di temasya sukan terbesar dunia itu, sekali gus timbul persoalan apakah perkara yang menghalang Malaysia untuk mencapai kejayaan gemilang dalam sukan?
Persoalan-persoalan ini sering berlegar di kotak pemikiran peminat sukan tanahair yang sememangnya ‘cemburu’ melihat kejayaan atlet jiran tetangga umpamanya perenang Singapura, Joseph Schooling yang memenangi Sukan Olimpik Rio 2016 menerusi acara 100 meter kuak kupu-kupu, mengatasi idolanya, Michael Phelps.
Begitu juga atlet mendaki Indonesia, Veddriq Leonardo apabila mencipta sejarah meraih pingat emas pertama negara itu di Sukan Olimpik Paris 2024, dalam acara speed climbing lelaki. Persoalannya, bilakah giliran Malaysia.
Terdapat pelbagai faktor mendorong ke arah kegagalan itu, namun tumpuan Harian Metro lebih kepada sokongan dan bantuan dari syarikat swasta dalam sama-sama merancakkan sektor sukan di Malaysia.
Jepun antara kuasa sukan terhebat dunia adalah salah satu contoh terbaik apabila kerajaan negara Matahari Terbit itu dilihat tidak berseorangan membangunkan industri sukan di negara itu.
Difahamkan, Jepun antara negara yang memberi pelepasan cukai tinggi kepada mana-mana syarikat yang melabur dalam industri sukan tidak kira sama ada dari segi pembangunan sukan, fasiliti mahupun penganjuran acara.
Buktinya boleh dilihat apabila syarikat gergasi Jepun seperti Fujitsu Limited (sebuah syarikat multinasional, terlibat dalam peralatan teknologi maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan) adalah pemilik kepada kelab bola sepak Kawasaki Frontale.
Satu lagi kelab Jepun, Yokohama F Marinos yang dimiliki syarikat kenderaan terkemuka dunia, Nissan, turut memainkan peranan besar kepada pembangunan bola seepak di negara itu.
Hasilnya, skuad Samurai Biru sentiasa layak beraksi di Piala Dunia selain menjuarai Piala Asia dari pelbagai peringkat umur hingga senior, malah pemain-pemain bola sepak negara itu juga kini sudah mampu menyertai kelab terbaik Eropah hasil daripada pembangunan sukan yang turut dipacu oleh sektor swasta.
Itali, Belanda dan beberapa negara Eropah juga difahamkan memberi pengecualian cukai tinggi bagi menarik minat syarikat swasta untuk membantu industri sukan yang akhirnya membantu perkembangan ekonomi negara.
Di Malaysia ketika ini, satu-satunya kelonggaran yang boleh dinikmati adalah potongan cukai 10 peratus daripada pendapatan agregat syarikat bagi sumbangan penajaan kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan (NGO) yang menggerakkan pembangunan sukan di peringkat akar umbi di mana skim itu diperkenalkan pada Belanjawan 2023.
Senario itu menyebabkan ramai penaja mula berfikir dua kali sebelum menghulurkan tajaan, malah ada yang mengambil keputusan ‘angkat kaki’ kerana tiada pulangan berbaloi berbanding kos besar yang dikeluarkan.
Realitinya, penajaan dalam arena sukan bukan sekadar membelanjakan wang, sebaliknya ia adalah pelaburan jangka panjang untuk negara. Namun tanpa galakan insentif pemotongan cukai berbaloi, syarikat akhirnya melihat ia sebagai beban dan pilihan yang ada ialah tidak lagi meneruskan penajaan mereka.
Apa yang hanya diumumkan pada Belanjawan 2025 adalah pelepasan cukai peribadi sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan membabitkan 103 jenis sukan seperti pembelian alatan sukan, yuran latihan, pendaftaran acara dan sewaan fasiliti.
© New Straits Times Press (M) Bhd