London: Jamie Carragher mendakwa pemecatan Ruben Amorim sebagai pengurus Manchester United adalah sesuatu yang ‘tidak dapat dielakkan’, sambil mendedahkan bila beliau menjangka kelab itu akan membuat perubahan.
Amorim kini berada di bawah tekanan hebat selepas permulaan musim yang mengecewakan, selepas mengakhiri kempen di kedudukan ke-15 musim lalu walaupun kelab sudah membuat pelaburan besar dalam skuad pada musim panas.
Manchester United meraih kemenangan 2-0 ke atas Sunderland pada Sabtu lalu, sekali gus sedikit meredakan tekanan terhadap pengendali berusia 40 tahun itu.
Kemenangan itu menyaksikan United menutup aksi liga sebelum rehat antarabangsa di tangga ke-10, dengan tiga kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan setakat ini.
Bercakap dalam rancangan Sky Sports, bekas pertahanan Liverpool itu menyifatkan tempoh Amorim di Old Trafford sebagai satu ‘bencana’ buat kedua-dua pihak iaitu jurulatih dan kelab.
Carragher menegaskan tempoh Amorim ‘perlu ditamatkan secepat mungkin’, namun menyatakan pihak pengurusan United belum memecatnya kerana tindakan itu akan dianggap bahawa mereka telah melakukan kesilapan dalam pelantikannya.
Walaupun United menang ke atas Sunderland, Carragher tetap berpegang pada pandangannya dan menjangka Amorim akan meninggalkan Old Trafford sebelum Krismas.
“Saya tidak suka mengatakan seseorang pengurus patut dipecat kerana ia tidak sopan dan ia melibatkan periuk nasi seseorang, tetapi saya sampai ke tahap di mana saya fikir kedudukan Ruben Amorim tidak lagi dapat dipertahankan,” kata Carragher dalam rancangan The Overlap Fan Debate yang dibawakan oleh Sky Bet.
“Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan akan berlaku sebelum Krismas. Statistiknya sungguh mengejutkan bagi seorang pengurus Manchester United. Dalam 50 perlawanan bersama United, pasukannya hanya menjaringkan dua gol lebih banyak daripada yang dibolosi,” katanya lagi.
Pandangan Carragher turut disokong legenda Manchester United, Paul Scholes, yang merasakan pengendali berkenaan sudah diberi ‘terlalu banyak masa’.
“Saya rasa bersama Ruben Amorim, ia sudah sampai ke tahap di mana kita tidak mahu terlalu kerap bercakap tentang pemecatan pengurus, dan Manchester United sebenarnya telah memberikan masa yang cukup kepadanya,” kata Scholes.
© New Straits Times Press (M) Bhd