‘Fokus saya kini 100 peratus untuk Bayern’ – Kane

‘Fokus saya kini 100 peratus untuk Bayern’ – Kane


PENYERANG sensasi England, Harry Kane, mengakui minatnya untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) kini semakin berkurangan, sebaliknya terbuka untuk memulakan rundingan kontrak baharu bersama Bayern Munich.

Kane, 32, kini berada di pertengahan tempoh kontrak empat tahun yang ditandatangani ketika menyertai gergasi Jerman itu dari Tottenham Hotspur dengan nilai perpindahan sebanyak £86.4 juta (RM510 juta) pada musim panas 2023.

Sejak berhijrah ke Bavaria, kapten England itu tampil luar biasa dengan menjaringkan 103 gol dalam 106 penampilan, sekali gus membantu Bayern merangkul kejuaraan Bundesliga 2024-2025 trofi pertama dalam kariernya.

Kane dilaporkan akan kembali ke England bagi meneruskan misi menewaskan rekod legenda, Alan Shearer, yang masih memegang gelaran penjaring terbanyak EPL dengan 260 gol dengan bekas tonggak Tottenham Hotspur itu hanya memerlukan 48 gol lagi untuk memintas rekod tersebut.

Namun, pemain berpengalaman itu mengakui dirinya kini lebih tenang di Jerman dan tidak lagi terlalu memikirkan untuk kembali ke tanah air.

“Dari segi kekal lebih lama, saya boleh katakan ia tidak mustahil. Saya belum berbincang dengan Bayern mengenai lanjutan kontrak, tetapi jika tiba masanya, saya terbuka untuk berbicara secara jujur.

“Semuanya bergantung kepada bagaimana setahun dua akan datang dan apa yang kami capai bersama. Buat masa ini, kami berada dalam fasa yang hebat dan saya hanya mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada Bayern,” katanya.

Tambahnya lagi, pandangan terhadap kepulangannya ke EPL kini sudah berubah selepas merasai suasana bola sepak Jerman selama dua musim.

“Kalau anda tanya saya ketika mula-mula berpindah ke Bayern, saya pasti akan katakan ya, saya akan pulang suatu hari nanti.

“Namun selepas dua tahun di sini, keinginan itu sedikit menurun walaupun saya tidak menolak kemungkinan kembali ke sana suatu hari nanti.

“Dalam bola sepak, peluang dan masa memainkan peranan penting. Buat masa ini, saya sepenuhnya bersama Bayern,” ujarnya.

Kane merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Tottenham dan England, selain menjadi pemain terpantas abad ini yang mencapai 100 gol bersama kelab dalam lima liga utama Eropah, hanya selepas 104 perlawanan buat Bayern.

Ringkasan AI

  • Harry Kane berminat untuk memulakan rundingan kontrak baharu bersama Bayern Munich
  • Berada di pertengahan tempoh kontrak empat tahun bersama Bayern Munich sejak pindah dari Tottenham Hotspur
  • Menjaringkan 103 gol dalam 106 penampilan untuk Bayern, membantu merangkul kejuaraan Bundesliga 2024-2025
  • Kini lebih tenang di Jerman dan kurang berminat kembali ke Liga Perdana Inggeris
  • Menjadi penjaring terbanyak bagi Tottenham dan England serta mencapai 100 gol dalam lima liga utama Eropah dengan cepat



Source link

OR

Scroll to Top