SUDAH menjadi kebiasaan segelintir pekerja apabila jarum jam menghampiri pukul lima petang, mereka mula berkemas untuk mengejar waktu pulang tepat waktu.
Akhirnya, solat Asar yang sepatutnya boleh sahaja didirikan awal waktu dilewatkan sehingga sampai di rumah.
Namun, adakalanya belum sempat sampai ke destinasi, jalan raya tiba-tiba sesak luar jangka. Kereta bergerak perlahan dan matahari pula makin condong ke barat.
Tatkala azan Maghrib berkumandang, baru sahaja selesai mengangkat takbir solat Asar atau berjaya menyudahkan tahiyat akhir.
Persoalannya, bagaimana kedudukan solat Asar yang dilakukan hampir tamat waktunya itu? Adakah ia sah dan apakah hukumnya jika seseorang sengaja melambat-lambatkan solat tanpa sebab yang munasabah?
Pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, perbuatan sengaja melewatkan solat Asar sehingga hampir masuk waktu Maghrib adalah makruh dan tidak disukai oleh syarak meskipun sembahyang tersebut masih dikira sah.
USTAZ AZHAR
“Sengaja kerjakan solat di hujung waktu seperti menunaikan solat Asar dekat waktu Maghrib dan semua rakaatnya dikerjakan sebelum masuk waktu Maghrib adalah makruh.
“Namun begitu, ia tidak disukai oleh syarak tetapi solatnya itu sah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.
Agamawan itu menjelaskan, tindakan itu bukan sahaja menunjukkan sikap sambil lewa terhadap kewajipan, tetapi juga menyerupai amalan orang munafik sebagaimana diingatkan oleh Rasulullah SAW.
Beliau kemudian memetik pandangan ulama muktabar, Syeikh Ibnu Hajar Al-Haytami yang membenarkan seseorang melewatkan solat dari awal waktu dengan syarat seluruh rakaatnya dilaksanakan sebelum terbenam matahari.

ELAKKAN sengaja melewat-lewatkan solat hingga hujung waktu tanpa sebab. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“Kata Ibnu Hajar Al-Haytami dalam kitab Al-Fatawa al-Fiqhiyah al-Kubra, jika orang yang bertanya berbuat demikian, dia tidak berdosa walaupun tidak mempunyai sebarang keuzuran.
“Sekalipun dia kerap melakukannya, sebaiknya dia meninggalkan amalan tersebut kerana sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadis riwayat Imam Muslim: ‘Itulah solat orang-orang munafik yang duduk menunggu matahari tenggelam sehingga apabila matahari sudah hendak tenggelam, barulah dia berdiri menunaikan empat rakaat seperti ayam mematuk makanan iaitu sujud dengan cepat dan tidak mengingati ALLAH melainkan sedikit sahaja’,” terangnya.
Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, berdosa sekiranya seseorang sengaja memperkecilkan solat dengan melewat-lewatkannya tanpa sebarang sebab.

DR ZULKIFLI
“Sebaliknya, andai seseorang terlewat mendirikan solat atas keuzuran yang dibenarkan syarak, maka ia tidak menjadi masalah, tetapi dia perlu segera menunaikan hak ALLAH itu,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web zulkiflialbakri.com.
Jelas beliau, ALLAH SWT amat menyukai mereka yang mengerjakan kewajipan itu pada awal waktu.
Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis Abdullah bin Mas’ud RA. Beliau bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang paling disukai oleh ALLAH SWT.
Lalu Baginda SAW bersabda: “Menunaikan solat pada waktunya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

BERDOSA sekiranya seseorang sengaja memperkecilkan solat dengan melewat-lewatkannya tanpa sebarang sebab. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Melihat ungkapan itu, ujar Dr Zulkifli, jelas bahawa penting untuk kita menyempurnakan ibadah solat dengan sebaiknya sehinggakan ia akan menjadi perkara pertama yang disoal pada hari akhirat kelak.
“Semoga ALLAH SWT kurniakan semangat dalam diri kita untuk terus menjaga solat dengan sebaiknya,” katanya.