Platform beraksi di peringkat antarabangsa

Platform beraksi di peringkat antarabangsa


norhayati_nordin@hmetro.com.my

BAGI warga Sarawak pastinya sudah tidak asing dengan penganjuran Anugerah Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) yang disertai oleh penggiat seni dari Asia Tenggara.

Terbaharu, AIFFA 2025 bakal dianjurkan pada 12 hingga 15 November depan dengan mempertaruhkan 13 kategori utama berserta dua anugerah baharu diperkenalkan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pihaknya tidak menduga penganjuran AIFFA kini sudah memasuki edisi ketujuh.

“Walaupun berlangsung dua tahun sekali, namun saya melihat AIFFA ini membawa kejayaan hebat kepada penggiat seni kita untuk beraksi di pentas antarabangsa.

“Saya masih ingat lagi ketika AIFFA dianjurkan kali pertama pada 2013. Hos atau pengacara kita pilih ketika itu adalah Henry Golding yang masih belum dikenali ramai.

“Ketika itu, dia (Henry) hanya bergelar hos acara sahaja dan belum berlakon. Kami ambil dia dan selepas itu dia berjaya menjadi pelakon terkenal di Hollywood sekarang,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian pada sidang media AIFFA 2025 di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Hulu Kelang pada Isnin lalu.

Turut hadir, Pengarah Festival AIFFA 2025, Livan Tajang yang memaklumkan pelbagai aktiviti sudah dirancang bagi memeriahkan penganjuran itu dengan kehadiran selebriti antarabangsa.

Sebanyak 200 filem dari 10 negara Asean menghantar penyertaan dan senarai pendek filem yang berjaya ke malam kemuncak AIFFA 2025 diketahui pada 13 November depan.

Setakat ini, tiga negara Asean menghantar pencalonan iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina kerana sangat aktif dalam penghasilan filem.

Dijangkakan, beberapa selebriti terkenal akan menghadiri malam gala AIFFA 2025 seperti legenda filem Hong Kong Simon Yam, pengarah dari Filipina, Lav Diaz dan penyanyi Indonesia, Ruth Sahanaya.

Malah, barisan selebriti tempatan pula seperti Datuk M Nasir, Vince Chong, Mimifly, Tony Eusoff dan ramai lagi.

Barisan juri AIFFA 2025 adalah U-Wei Saari dari Malaysia, Herman Van Eyemeni (Belgium), Mohanad Hayal (Iraq), Embi C Noer (Indonesia) dan Nik Amir Mustapha (Malaysia).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top