MASIH ada segelintir masyarakat yang percaya jika si ibu melihat atau bersentuhan dengan makhluk ‘pelik’ ketika hamil, anak dalam kandungan akan terkenan rupa atau perangai makhluk tersebut. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“JANGAN bela ikan pelik masa isteri mengandung, nanti anak jadi tak cukup sifat.”
Demikian antara ‘nasihat’ yang sering kedengaran dalam masyarakat kita yang diwarisi turun-temurun kononnya sebagai peringatan kepada pasangan suami isteri yang bakal menimang cahaya mata.
Ada yang percaya, jika si ibu melihat atau bersentuhan dengan makhluk ‘pelik’ ketika hamil, anak dalam kandungan akan terkenan rupa atau perangai makhluk tersebut.
Namun, sejauh mana benarnya dakwaan itu dari sudut Islam?
Menurut Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, kepercayaan kepada ‘kenan’ sebenarnya boleh membawa kepada unsur syirik kerana ia melibatkan keyakinan bahawa sesuatu makhluk atau kejadian lain mempunyai kuasa mempengaruhi takdir manusia.

INFOGRAFIK berkaitan kenan yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.
“Ia dikatakan syirik kerana terdapat keyakinan dalam hati bahawa wujud kuasa lain yang mampu mempengaruhi kehidupan seperti mengaitkan kecacatan atau kemudaratan bayi disebabkan oleh binatang tersebut.
“Sedangkan, umat Islam dilarang untuk menganggap sesuatu perkara atau makhluk lain boleh memberi keburukan sial, nasib malang dan sebagainya bagi mengelakkan kita terjerumus dalam (perbuatan) mensyirikkan ALLAH,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Selasa.
Dalam pada itu, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan menasihatkan agar umat Islam sentiasa bertawakal dan bersangka baik kepada ALLAH SWT apabila berlaku sesuatu musibah.
“Apabila ditimpa ujian, jangan menyalahkan suatu perkara atau menganggap sesuatu itu pembawa malang atau sial.
“Sebaiknya, berpegang teguhlah kepada kekuasaan ALLAH dan serahkanlah urusan sepenuhnya kepada ALLAH SWT,” katanya.

HARUS hukumnya memelihara haiwan ternakan atau hiasan dengan syarat kebajikan dan makan serta minumnya dijaga dengan baik. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Kepada mereka yang mahu memelihara haiwan ternakan atau hiasan, jabatan mufti itu menjelaskan, tiada masalah berbuat demikian.
“Harus memelihara haiwan ternakan atau hiasan dengan syarat kebajikan dan makan serta minumnya dijaga dengan baik,” katanya.