Karya sentuh jiwa dan emosi

Karya sentuh jiwa dan emosi


FILEM: Sore: Istri Dari Masa Depan

PENGARAH: Yandy Laurens

PELAKON: Sheila Dara Aisha, Dion Wiyoko, Goran Bogdan, Livio Badurina, Lara Nekic, Borko Nekic dan lain-lain

GENRE: Drama

PENGEDAR: Primeworks Studios

ULASAN: Georgie Joseph

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Sore: Istri Dari Masa Depan sebuah naskhah sinematik meninggalkan kesan mendalam, jauh berbeza daripada karya romantis biasa sering kita saksikan. Penonton dibawa ke dalam sebuah perjalanan emosi tak terduga.

Ia berkisar Jonathan lakonan Dion Wiyoko, iaitu lelaki yang kehidupannya kucar-kacir sehinggalah muncul seorang wanita asing bernama Sore (Sheila Dara Aisha).

Sore mendakwa dirinya adalah isteri Jonathan dari masa depan, datang membantunya untuk memperbaiki takdir. Namun, setiap percubaan Sore untuk mengubah masa lalu mencetuskan ‘time loop’ atau gelung masa yang tragis.

Dia akan mati dan terpaksa mengulangi peristiwa sama berulang kali, menjadikan filem ini sebuah karya yang menyentuh jiwa.

Dari babak pertama lagi, filem ini menyajikan keindahan visual luar biasa. Setiap babak terasa begitu hidup dan memukau, seolah-olah penonton sedang melihat poskad yang bernyawa dan bercerita.

Kekuatan utamanya terletak pada garapan plot yang sangat kemas. Tiada satu pun adegan terasa longgar atau tidak perlu. Semuanya disusun rapi membina sebuah penceritaan padu dari awal hingga penghujungnya.

Satu aspek paling menarik adalah pendekatan kurang dialognya. Filem ini membuktikan perbualan tidak selalunya diperlukan untuk menyampaikan perasaan yang kompleks dan mendalam.

Sebaliknya, kekuatan lakonan pelakon banyak bergantung pada ekspresi wajah dan bahasa tubuh. Setiap gerak-geri dan renungan mata mereka berbicara lebih kuat daripada ribuan patah perkataan.

Walaupun dialognya tidak banyak, setiap baris skrip yang dituturkan adalah sangat tepat dan kena pada masanya. Ia tidak berlebihan, tetapi cukup untuk menggerakkan naratif dan menyentuh jiwa penonton.

Sinematografi filem ini wajar diberikan pujian tertinggi. Setiap shot yang dirakam terasa sempurna, dengan komposisi dan pencahayaan teliti, sekali gus menghasilkan karya seni visual yang tajam dan terperinci.

Perincian kecil juga tidak diabaikan. Dari susun atur props hinggalah kepada pilihan warna, semuanya dijaga dengan begitu rapi dan sempurna untuk melengkapkan suasana penceritaan.

Filem ini bukanlah sebuah kisah cinta klise yang mudah dijangka. Ia mempunyai lapisan-lapisan makna yang lebih mendalam, dengan mesej-mesej tersirat mengajak penonton untuk berfikir dan merenung.

Konsep ‘time loop’ yang diangkat juga bukan seperti kebiasaan. Ia digunakan bukan sekadar sebagai gimik, tetapi sebagai alat penting untuk meneroka tema-tema yang lebih berat dan signifikan.

Di pertengahan penceritaan, sebuah plot twist tidak disangka-sangka dan terus mencengkam emosi penonton pada tahap paling dalam. Titik perubahan itu mengubah keseluruhan perspektif ceritanya.

Pada dasarnya, filem ini adalah sebuah penerokaan mengenai cinta, kematian dan rasa. Ia menyelami perasaan patah hati dan kesedihan dengan cara yang jujur dan menyentuh.

Ia juga adalah sebuah kisah mengenai pencarian makna hidup. Watak-wataknya digambarkan berusaha mengisi lohong-lohong kosong dalam jiwa mereka, sesuatu yang sangat dekat dengan realiti kehidupan.

Pengalaman menonton filem ini ibarat menaiki ‘roller-coaster’ emosi. Perasaan penonton berbolak-balik tanpa henti, babak-babak meruntun jiwa, tiba-tiba diselangi babak mengundang gelak tawa.

Ada kalanya, ia membuat penonton tersengih sendiri, dengan hati yang berbunga-bunga melihat keindahan cinta dipaparkan, sebelum kembali diheret ke dalam realiti menyedihkan.

Mesej dan pengajaran yang disampaikan oleh filem ini juga meninggalkan bekas agak mendalam. Ia bukan sesuatu yang mudah dilupakan sebaik sahaja kredit penamat ditayangkan.

Selepas menonton, wujud satu perasaan rindu yang amat dahsyat. Kerinduan terhadap watak, suasana dan perasaan yang sudah berjaya disemai oleh filem terbabit ke dalam diri penonton.

Secara keseluruhannya, menonton Sore: Istri Dari Masa Depan seperti disedut masuk ke dalam sebuah dimensi ‘multiverse’.Ia mengasyikkan, indah, dan akan kekal dalam ingatan untuk satu tempoh yang sangat lama.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top