Beregu lelaki negara pamer taring di Finland

Beregu lelaki negara pamer taring di Finland

Beregu lelaki negara pamer taring di Finland


BEREGU badminton lelaki negara, Choong Hon Jian–Haikal Nazri, meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke suku akhir selepas menundukkan pasangan Itali, Eloi Adam–Leo Rossi, 12-21, 21-10, 21-16 dalam aksi pusingan kedua (R16) di Energia Arena, Vantaa, Finland pada Jumaat.

Pertarungan selama 51 minit itu menyaksikan Hon Jian–Haikal, pasangan ranking ke-47 dunia, bangkit selepas tewas pada set pertama untuk mencatat kemenangan pertama dalam rekod pertemuan mereka menentang gandingan ranking ke-35 dunia tersebut.

Kemenangan tersebut menghadiahkan tiket ke suku akhir buat wakil Malaysia itu yang bakal berdepan pilihan ketiga kejohanan dari Denmark, Kim Astrup–Anders Skaarup Rasmussen.

Sebelum ini, Hon Jian–Haikal mencipta kejutan apabila menumbangkan pasangan China, Huang Di–Liu Yang, yang menghuni ranking ke-16 dunia.

Dalam perlawanan tersebut, mereka mempamerkan ketenangan luar biasa untuk menamatkan cabaran lawan dengan keputusan 23-21, 22-20 dalam masa 50 minit.

Dalam satu lagi aksi, beregu pilihan pertama kejohanan, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan rakan senegara, Low Hang Yee–Ng Eng Cheong, 15-21, 21-14, 21-14.

Pasangan nombor lima dunia itu memerlukan 53 minit untuk meraih kemenangan sulung dalam pertemuan sesama sendiri, sekali gus mendahului 1-0 dalam rekod pertemuan mereka.

Aaron–Wooi Yik dijadualkan menentang wakil Taiwan, Yang Po-han–Liu Kuang Heng, yang sebelum itu mengejutkan pilihan ketujuh dan rakan senegara mereka, Lee Jhe-huei–Yang Po-hsuan, dengan kemenangan mudah 21-18, 21-9.

Sebelum ini, pasangan utama negara itu melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan beregu Denmark, Daniel Lundgaard–Mads Vestergaard, 21-18, 21-15 dalam masa hanya 37 minit.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Arif Junaidi–Yap Roy King, terpaksa akur apabila tewas kepada pasangan pilihan ketiga dari Denmark, Kim Astrup–Anders Skaarup Rasmussen, 13-21, 21-12, 13-21 dalam perlawanan sengit selama 54 minit.

Gandingan ranking ke-20 dunia itu bagaimanapun mempamerkan semangat juang tinggi selepas merakam kemenangan meyakinkan 21-13, 21-15 ke atas beregu Sweden, Mio Molin–Max Svensson, pada pusingan pertama sebelum ini.



Source link

OR

Scroll to Top