hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini lebih terbuka mendengar kupasan, pandangan dan perbincangan isu rasuah dalam negeri membabitkan generasi Z dan Alpha.
Ia juga selaras keperluan untuk menyesuaikan penyampaian pendidikan antirasuah dengan transformasi gaya dan minat generasi hari ini kerana usaha memerangi rasuah bukan sekadar menguatkuasakan undang-undang semata-mata, tetapi ia juga termasuk mendidik setiap individu membenci rasuah.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail berkata, penggunaan medium komunikasi terbuka dalam mendengar suara generasi di institusi pengajian tinggi tempatan bakal diterjemah melalui Pertandingan Debat Antirasuah Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM buat kali ke enam bagi tahun ini.
Menurutnya, debat sebagai medium menampilkan kupasan dan perbincangan yang sesuai untuk melatih kemampuan golongan muda menganalisis isu kompleks, menyusun logik yang kukuh dan menyatakan antisipasi sanggahan terhadap sesuatu perkara.
“Oleh itu penganjuran pertandingan khusus untuk mahasiswa institusi pengajian tinggi itu mampu menjadikan golongan muda lebih peka dan terdorong untuk memahami serta mencari penyelesaian terhadap pelbagai isu dalam masyarakat seperti isu penguatkuasaan undang-undang dan pencegahan bekaitan rasuah,” katanya dalam kenyataan di sini, tadi.
Mengangkat tema ‘Idealis Berintegriti, Pemacu Negara Madani’, Debat Antirasuah Piala KP SPRM kali keenam berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula Jumaat lalu hingga esok dengan penyertaan 40 pasukan terdiri daripada pendebat universiti awam dan swasta, institut pendidikan guru, Institusi Pendidikan MARA serta Politeknik seluruh negara.
Berkonsepkan Debat Ala Parlimen, ia adalah acara tahunan anjuran SPRM dengan Kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan beberapa pihak antaranya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan UKM.
Ahmad Nizam berkata, tema Idealis berintegriti merujuk kepada individu yang memegang dan mengamalkan prinsip moral serta etika yang tinggi dan konsisten tanpa mengira sama ada diawasi atau tidak.
Menurutnya, justeru kumpulan sasar itu menjadi tumpuan SPRM supaya mereka mempunyai prinsip integriti yang kukuh dan cakna tentang marabahaya rasuah sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
“Debat dilihat sebagai medium yang mampu membentuk kesedaran mahasiswa mengenai isu rasuah dan salah guna kuasa kerana dengan memberi galakan perbincangan serta kupasan terbuka begini, ia membolehkan golongan muda memahami pandangan orang lain, manakala SPRM selaku agensi yang melaksanakan pencegahan rasuah pula dapat memahami cabaran dan perspektif generasi ini.
“Bukan itu sahaja, medium itu juga mampu memperkasakan golongan muda di mana mereka menjadi lebih proaktif dalam membuat keputusan untuk mencari solusi terhadap risiko permasalahan integriti yang boleh berlaku di masa hadapan,” katanya.
Peningkatan dan komitmen mahasiswa dalam menyertai sesi debat kali ini bakal mencipta saingan hebat antara pasukan bagi merebut hadiah kejuaraan sebanyak RM14,000 bagi johan, naib juara (RM8,000) dan RM5,000 bagi dua kumpulan yang layak ke separuh akhir.
Pendebat Terbaik Akhir akan meraih hadiah wang tunai RM2,000, sementara Pendebat Terbaik Keseluruhan akan membawa pulang wang tunai RM1,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd