Pearly–Thinaah mara ke perlawanan akhir Terbuka Artik Super 500 selepas menyingkirkan cabaran Pei Shan–En Tzu dalam aksi separuh akhir di Energia Arena, Vantaa, Finland pada Sabtu.
BEREGU badminton wanita negara, Pearly Tan–M Thinaah terus mengibarkan panji Malaysia di pentas antarabangsa apabila mara ke perlawanan akhir Terbuka Artik 2025 selepas menundukkan pasangan Taiwan, Hsieh Pei Shan–Hung En Tzu dalam aksi separuh akhir mendebarkan di Energia Arena, Vantaa, Finland pada Sabtu.
Pearly–Thinaah, yang turun selaku pilihan kedua kejohanan, bermula agak perlahan apabila terpaksa akur tewas 22-24 pada set pertama kepada pasangan pilihan keempat itu yang tampil lebih agresif dan tenang pada penghujung permainan.
Namun, pasangan negara yang juga naib juara edisi Terbuka Artik tahun lalu tidak mudah mengalah apabila segera memperkemas rentak permainan dengan corak serangan lebih tajam dan komunikasi mantap untuk bangkit mencatat kemenangan 21-8 pada set kedua, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Set ketiga menyaksikan keampuhan mental dan pengalaman Pearly–Thinaah diuji apabila Pei Shan–En Tzu cuba bangkit memberi tentangan sengit, namun, beregu negara yang baru sahaja menamatkan Kejohanan Dunia Ogos lalu selaku pemenang pingat perak, kekal tenang mengawal tekanan untuk menoktahkan kemenangan 21-17, sekaligus mengesahkan slot ke perlawanan akhir.
Kemenangan itu membolehkan Pearly–Thinaah berdepan pilihan ketiga dari Jepun Rin Iwanaga–Kie Nakanishi melakar kemenangan dramatik ke atas rakan senegara, Arisa Igarashi–Chiharu Shida, 21-14, 12-21, 26-24 untuk perlawanan final pada Ahad.
Kejayaan itu juga bukan sekadar memastikan tiket final buat malah menyaksikan Pearly–Thinaah melangkah ke final keenam tahun ini selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut ke atas lawan ranking ke-11 dunia berkenaan.
Ringkasan AI
- Beregu badminton wanita negara, Pearly Tan–M Thinaah, mara ke perlawanan akhir Terbuka Artik 2025 setelah menundukkan pasangan Taiwan
- Mula pertandingan dengan perlahan dan tewas pada set pertama namun tidak mudah mengalah dan bangkit pada set kedua
- Memperkemas rentak permainan dengan serangan tajam dan komunikasi mantap
- Keampuhan mental dan pengalaman beregu negara diuji tetapi kekal tenang untuk menoktahkan kemenangan pada set ketiga
- Kemenangan ini membawa Pearly–Thinaah berdepan dengan pilihan ketiga dari Jepun di perlawanan final