am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Seorang jurujual sebuah syarikat swasta, di sini mengalami kerugian RM1.027 juta selepas terpedaya dalam kes penipuan pelaburan permainan dalam talian.
Mangsa lelaki berusia 34 tahun tampil membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail, berkata mangsa memberitahu dia melayari aplikasi Facebook (FB) pada awal bulan lalu sebelum melihat iklan pelaburan permainan itu.
“Mangsa tertarik dengan jumlah keuntungan lumayan sebanyak 50 peratus daripada wang yang dilaburkan dalam tempoh masa singkat.
“Dia kemudian diberikan ‘link’ (capaian) untuk menyertai pelaburan itu. Mangsa membuat pelaburan pertama pada 3 September dengan memasukkan wang berjumlah RM300,000 ke dalam akaun atas nama sebuah syarikat tempatan.
“Seterusnya, mangsa membuat pelaburan tambahan dari 10 September hingga 9 Oktober dengan melakukan tujuh transaksi wang berjumlah RM727,000 ke dalam lima akaun,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya, mangsa sedar diperdaya apabila dia ingin membuat semakan ke atas capaian yang diberikan tetapi tidak boleh membukanya termasuk nombor telefon yang diberikan juga tidak dapat dihubungi.
“Mangsa tampil membuat laporan polis dan kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat kes ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd